Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, tampil menyuarakan kebimbangannya terhadap tindakan segelintir pihak yang didakwanya cuba mencetuskan kekacauan dan perpecahan.
Menurutnya, usaha menukar kepimpinan kerajaan di luar proses demokrasi sedemikian bukan sahaja merugikan negara tetapi juga menggugat kestabilan politik dan perpaduan rakyat.
"Spekulasi mengenai perubahan kepimpinan pada masa ini boleh menjejaskan momentum kerajaan dalam menarik pelaburan, yang akhirnya merugikan ekonomi negara.
Sebelum ini, Premier Sarawak Abang Johari Openg menyeru agar Anwar Ibrahim diberikan peluang untuk menghabiskan tempoh lima tahun sebagai perdana menteri.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata terdapat pihak tertentu yang sibuk bercakap di media mengenai usaha menggantikan Anwar.
Mengulas lanjut, Tiong yang juga adalah presiden Pari Demokratik Progresif (PDP) turut mengingatkan tentang pengalaman pahit masa lalu apabila ketidakstabilan politik membawa kepada tiga perubahan jawatan perdana menteri dalam tempoh singkat.
Katanya, ini menyukarkan pembangunan ekonomi dan memberi kesan buruk kepada rakyat.
“Situasi tersebut telah menyebabkan banyak keluarga bergelut dengan ketidakpastian.
“Saya berpandangan bahawa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim harus dibenarkan untuk melengkapkan tempoh lima tahunnya.
“Ini bagi membolehkan kerajaanPerpaduan melaksanakan sepenuhnya inisiatif dan dasar yang dirancang untuk memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Tambahnya, rakyat akan mempunyai peluang untuk menilai prestasi kerajaan ini pada pilihan raya umum akan datang.
Menyentuh isu berkaitan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, Tiong menegaskan bahawa kepercayaan harus diberikan kepada Lembaga Pengampunan.
Sehubungan itu, dia menggesa semua pihak untuk menghindari langkah-langkah yang boleh menggugat kestabilan negara.
“Maka kita seharusnya memberi kepercayaan kepada Lembaga Pengampunan, bukannya cuba mengganggu hala tuju negara melalui perhimpunan atau apa jua langkah serupa.
“Masa depan Malaysia tidak boleh tergelincir oleh agenda politik,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Tiong menyeru semua pihak untuk bersama-sama memupuk perpaduan.
"Dengan semangat perpaduan, kita boleh menyumbang kepada kebangkitan negara. Ini bukan sahaja untuk masa depan Malaysia tetapi juga untuk generasi akan datang," katanya.
Kenyataan ini hadir di tengah-tengah usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dan memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan menarik di mata dunia.