Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar tak perlu letak jawatan, kata Hassan Karim
Diterbitkan:  Jan 7, 2025 9:47 AM
Dikemaskini: 1:47 AM

Walaupun bekas perdana menteri Najib Razak telah diberikan kebenaran untuk semakan kehakiman berhubung titah adendum bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah, Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya dijangka meletak jawatan.

Sebaliknya, ahli parlimen PKR Hassan Karim menegaskan bahawa Anwar harus dipuji kerana komitmennya untuk menegakkan kebebasan kehakiman.

"Anwar Ibrahim secara peribadi dan sebagai perdana menteri tidak boleh menjawab secara sewenang-wenang sama ada titah adendum itu ada atau tidak ada," katanya dalam kenyataan media semalam.

"Dalam hal ini kredit atau pujian wajar diberi kepada perdana menteri yang berulang kali menjawab dan menjelaskan di dalam Parlimen atau di luar Parlimen bahawa kerajaan dan beliau khususnya sebagai perdana menteri tidak boleh menggangu perjalanan prosiding mahkamah dan keputusan hakim-hakim," tambahnya.

Hassan juga menyatakan bahawa Najib mengemukakan permohonan pengampunannya kepada Lembaga Pengampunan, yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan Anwar tidak terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan lembaga itu.

Semalam, Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada Najib untuk meneruskan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, bagi memaksa kerajaan untuk mengesahkan kewujudan titah adendum itu dan melaksanakan arahan agar baki hukuman penjaranya dijalani di bawah tahanan rumah.

Keputusan itu mendorong Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari untuk menuntut Anwar meletak jawatan, dengan alasan tindakan kerajaan itu melanggar hak Najib untuk perbicaraan dan keadilan yang adil.

Mengulas lanjut, Hassan seterusnya menegaskan Anwar memahami sepenuhnya peranannya sebagai perdana menteri dan tanggungjawab Peguam Negara serta badan kehakiman di bawah prinsip pengasingan kuasa.

"Apakah kita mahu perdana menteri campur tangan dalam kerja-kerja profesional peguam-peguam kerajaan yang disebut Fedefal Counsel dan Peguam Negara di Jabatan Peguam Negara?

"Tentu kita tidak mahu perdana menteri terpaksa lakukan sampai ke peringkat itu," kata ahli parlimen Pasir Gudang itu.

Hassan juga menekankan bahawa institusi kehakiman merupakan pemenang sebenar dalam kes ini, menunjukkan bahawa keputusan oleh cabang eksekutif, termasuk Lembaga Pengampunan, boleh dicabar dan disemak di mahkamah.

“Prinsip pemisahan kuasa berjalan baik di Malaysia," katanya.

"Najib belum menang secara total. Dia perlu berdepan satu perbicaraan penuh substiantif semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Di sana nanti, Najib mungkin menang atau mungkin kalah," katanya lagi.

Titah adendum yang menjadi pertikaian itu adalah tambahan kepada titah diraja utama yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun Najib dan denda RM210 juta kepada hukuman penjara enam tahun dan denda RM50 juta.

Hukuman itu berkaitan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah (CBT), dan kes pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS