Syarikat pelaburan Sin Heng Chan (Malaya) Berhad menafikan dakwaan pihaknya mengancam penduduk Kampung Long Urun kerana mereka bersuara mengenai ladang kelapa sawit berhampiran petempatan mereka.
Ini susulan konflik antara seorang pemilik inap desa dan sebuah ladang kelapa sawit di kawasan Kampung Long Urun yang terletak di pendalaman Sarawak dengan jarak 180km dari Bintulu.
Pun begitu, Urun Plantations Sdn Bhd anak syarikat Sin Heng Chan (Malaya) Berhad merancang untuk menyelesaikan pertikaian tersebut secara damai melalui satu mesyuarat di pejabat daerah pada minggu hadapan bersama pihak-pihak yang membuat dakwaan tersebut, kata Sin Heng Chan kepada Malaysiakini.
“Urun Plantations sentiasa mengamalkan dasar keterlibatan aktif dengan Jawatankuasa Kawasan Kampung Long Urun (JKKK) dan komuniti tempatan. Dakwaan ini tidak benar,” kata syarikat itu.
Dakwaan pemilik inap desa
Dalam satu artikel ulasan yang diterbitkan Malaysiakini, seorang pemilik inap desa mendakwa Sin Heng Chan mengancam penduduk kampung kerana mengkritik syarikat tersebut.
Sin Heng Chan menjelaskan pertikaian itu berkisar isu pencerobohan penanaman sawit dan lokasi inap desa yang terletak dalam zon penampan yang dilindungi berhampiran hulu Sungai Belaga.
Melalui sepucuk surat bertarikh 16 Disember 2024 yang dilihat oleh Malaysiakini, JKKK menafikan penglibatan mereka dalam pertikaian itu. Surat berkenaan mengandungi 220 tandatangan.
Dalam pada itu, artikel ulasan pula mendakwa pemimpin kampung yang memperjuangkan pemisahan tanah adat mereka daripada lesen ladang akhirnya senya-senyap menarik diri, dipercayai disebabkan janji wang dan pekerjaan.
Maklum balas Sin Heng Chan
Bagaimanapun, Sin Heng Chan berkata dakwaan tersebut dilakukan oleh sekumpulan kira-kira 20 individu yang bukan penduduk asal kampung tersebut.
“Urun Plantations telah melakukan libat urus dengan individu-individu ini sejak April 2024 melalui saluran yang ditetapkan termasuk JKKK, temenggung (pemimpin tertinggi komuniti), penghulu (ketua kampung) dan pihak berkuasa tempatan termasuk pegawai daerah dan Pegawai Tadbir Sarawak (SAO).
“Dalam semua kes, tidak ada sokongan untuk individu-individu ini kerana mereka dianggap sebagai penduduk baru di kawasan tersebut,” kata syarikat itu.
Ulasan dalam surat itu juga menyebut penduduk kampung telah membina pagar buatan sendiri sebagai sekatan untuk masuk ke ladang.
Menurut Sin Heng Chan, di sebalik sekatan tersebut satu mesyuarat diadakan antara kumpulan wakil Urun Plantations dan anggota JKKK. Dalam mesyuarat itu, dipersetujui sekatan itu akan diturunkan menjelang 26 Disember.
“Dalam mesyuarat tersebut, JKKK berkata sekatan itu menyusahkan penduduk rumah panjang kerana menghalang mereka menggunakan jalan tersebut.
“Selepas tempoh yang diberikan kepada individu-individu untuk membersihkan sekatan tamat, sekatan itu diturunkan sendiri oleh anggota JKKK,” kata syarikat berkenaan.
Syarikat itu mendakwa sekatan tersebut dibuat berhampiran jalan di luar inap desa itu, yang berada 22km dari kawasan penempatan yang disediakan Urun Plantations untuk penduduk kampung.
Kawasan penempatan itu berkeluasan lebih 1,400 hektar dan mengandungi 15 rumah panjang yang didiami oleh penduduk kampung, jelasnya.
Menurut laporan Dayak Daily penduduk kampung itu Orang Asal suku Kenyah dan Penan.
Urun Plantations juga menyediakan sumbangan bulanan kepada JKKK untuk pembangunan komuniti, dengan jumlah keseluruhan RM7.5 juta sejak projek itu bermula, tambahnya.
Tebang hutan, membalak
Pada 27 Disember, Senator Abun Sui Anyit menggesa pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak menghentikan Urun Plantations daripada membuka kawasan baru di hulu Sungai Belaga.
Ketua Cabang PKR Hulu Rajang itu berkata syarikat berkenaan gagal menyelesaikan aktiviti pembalakan pada tahun 2007—2010 tahun selepas ia memperoleh pajakan sementara.
Apabila ditanya mengenai dakwaan aktiviti pembalakan syarikatnya di tanah adat, Sin Heng Chan enggan memberikan penafian langsung, hanya menyatakan pihaknya telah menjalankan aktiviti pertanian di tanah tersebut selama kira-kira 27 tahun.