Seorang bekas ahli parlimen yang juga peguam berkata, Najib Razak masih perlu melepasi satu lagi halangan sebelum keinginannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara di rumah boleh menjadi kenyataan.
Kata Mohamed Hanipa Maidin, Najib tidak akan dapat menjalani hukuman penjara itu di rumah sekurang-kurangnya buat masa ini.
Dalam keputusan di Mahkamah Rayuan tengah hari tadi, katanya, hakim hanya membenarkan rayuan oleh bekas perdana menteri itu berhubung kebenaran untuk meneruskan permohonan semakan undang-undang ke atas merit keputusan mahkamah tinggi.
"Dalam permohonan semakan kehakiman pada asasnya terdapat dua peringkat. Rayuan hari ini hanya melibatkan peringkat pertama pendengaran semakan kehakiman Najib.
"Bagi sebarang permohonan kebenaran untuk memohon semakan kehakiman, pemohon hanya perlu memastikan bahawa permohonannya telah berjaya mewujudkan kes yang boleh dipertikaikan," katanya dalam hantaran di media sosial.
Hanipa yang pernah menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bertanggungjawab bagi hal-ehwal undang-undang berkata, dalam rayuan hari ini, pada dasarnya Mahkamah Rayuan mengubah keputusan mahkamah tinggi terdahulu yang memutuskan bahawa permohonan Najib gagal mewujudkan kes yang boleh dipertikaikan.
Dalam keputusan 2-1 di Mahkamah Rayuan hari ini, katanya, hakim mengarahkan kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk semakan merit.
"Najib masih ada satu lagi halangan untuk dihadapi.
"Keputusan hari ini mungkin menjadi berita baik kepada Najib dan ‘pengikutnya yang buta’.
"Sama ada keputusan itu baik untuk rakyat Malaysia dan kerajaan perpaduan kekal perlu disaksikan!" katanya.