Walaupun Umno membatalkan rancangan untuk berhimpun memberi sokongan kepada Najib Razak, ia tidak menghalang sesetengah pemimpin dan pengikut parti itu untuk turut menunjukkan solidariti mereka di Istana Kehakiman pagi tadi.
Ia lebih menarik perhatian sesetengah pihak kerana himpunan berkenaan dilihat didalangi oleh PAS.
Antara pemimpin Umno yang menghadirkan diri ialah Ketua Umno Subang, Armanda Azha Abu Hanifah; Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub; Ketua Penerangan Umno Pahang Fadzli Mohamad Kamal; Ketua Umno Alor Setar, Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Yunos.
Armanda Azha berkata, dia mengambil inisiatif peribadi untuk hadir sebagai tanda sokongan kepada bekas presiden Umno terbabit.
Menurutnya, tiada apa yang perlu ditakutkan dengan kehadiran ahli Umno hari ini yang turun padang untuk mendengar keputusan mengenai titah adendum tahanan rumah Najib.
"Saya hadir hari ini sebagai individu, sebagai seorang sahabat kepada Najib, untuk mendengar sendiri keputusan titah adendum sama ada ia ada ataupun tidak," katanya.
Pada 3 Jan lalu Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, mengeluarkan kenyataan bahawa rancangan awal parti itu untuk mengadakan perhimpunan telah dibatalkan.
Katanya, keputusan itu diambil atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan sebagaimana gesaan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pemimpin dan ahli Umno yang masih mahu menyertai perhimpunan solidariti untuk Najib di Putrajaya perlu menanggung risiko sendiri.
Malaysiakini telah menghubungi Asyraf Wajdi bagi mendapatkan reaksi lanjut berhubung kehadiran pemimpin Umno ke himpunan berkenaan.
Sementara itu Mustapha pula menjelaskan kehadiran dia dan ahli Umno ke himpunan itu bukan bermakna mereka mengingkar arahan dikeluarkan parti.
Sebaliknya, kata Mustapha, mereka hadir atas rasa kasih dan memberi sokongan moral kepada Najib yang sedang berusaha "mendapatkan keadilan."
"Apabila kami berada di sini, bukan bermakna ingkar arahan parti, tapi sebagai sokongan kepada Najib untuk mendapatkan keadilan," katanya.
Selain itu Ketua pemuda Umno Dr Akmal Saleh turut hadir mengikuti perkembangan prosiding pendengaran permohonan rayuan Najib.
Dia bagaimanapun dilaporkan tidak berhimpun bersama-sama penyokong sebaliknya masuk ke kamar mahkamah untuk mengikuti prosiding rayuan Najib secara dekat.
Terdahulu Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan untuk menguatkuasakan titah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong yang lalu.
Dalam keputusan 2-1, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Azizah Nawawi memutuskan agar kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman.
Solidariti PAS lebih meriah
Kepimpinan PAS dilihat memberi sokongan besar dalam himpunan solidariti bersama Najib itu apabila ramai pimpinannya turun padang bagi memberi sokongan kepada Najib.
Selain Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang hadir sebagai peguam pemerhati prosiding itu, beberapa pemimpin kanan parti terbabit turut kelihatan berada bersama penyokong di sekitar kompleks mahkamah.
Antaranya Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor; Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari; Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim.
Turut kelihatan Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh; Ahli Pahlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff; Ahli Parlimen Tumpat, Mumtaz Md Nawi dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad.
Tidak ketinggalan ialah beberapa pemimpin Bersatu walaupun parti itu tidak menyatakan pendirian rasmi mereka berhubung himpunan solidariti terhadap Najib.
Antaranya Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin; naib presidennya, Ronald Kiandee; dan dua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu iaitu Saifuddin Abdullah dan Wah Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Terdahulu Mursyidul Am PAS Hashim Jasin memberi bayangan bahawa kerjasama di antara parti itu dengan Umno penting dalam usaha menyekat apa yang didakwanya sebagai agenda politik DAP.
Menurut Hashim, tiada jalan lain untuk menyekat perancangan berkenaan melainkan menghidupkan kembali perpaduan ummah dan memperkukuhkan kedudukan politik Islam di negara ini.
“Saya yakin ini adalah ketentuan Allah untuk memudahkan kita untuk menghidupkan kembali konsep perpaduan ummah yang agak tenggelam sekejap.
“Orang Umno sendiri boleh berfikir bahawa tidak ada jalan lain melainkan kita hidupkan kembali perpaduan ummah dalam politik negara kita,” katanya dipetik Harakahdaily.