Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, hari ini menghantar isyarat untuk menegaskan pandangannya bahawa tokoh dalam DAP, Lim Guan Eng, dianggapnya "masih berbisa".
Dalam hantaran melalui media sosialnya, Mahathir menjelaskan Lim sebenarnya tidak bersetuju jika Umno dan PAS bekerjasama seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi DAP itu berkaitan himpunan menyokong Najib Razak baru-baru ini.
Dakwa Mahathir, kenyataan dibuat Istana Negara beberapa hari menjelang pendengaran rayuan Najib berhubung titah tambahan (adendum) terkait hukuman bekas Presiden Umno itu tidak melibatkan larangan berhimpun.
Kata Mahathir apa yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hanya melibatkan cara pengampunan seseorang banduan diberikan oleh baginda.
Justeru, menurut bekas Pengerusi Bersatu itu lagi, Umno sepatutnya masih boleh meneruskan himpunan solidariti buat Najib pada hari ini, dan bukan membatalkannya.
"Tetapi yang jelas ialah tentangan DAP terhadap kerjasama Umno dengan PAS.
“Jika diteruskan (kerjasama tersebut) Umno mungkin tersingkir daripada kerajaan PH. Lim Guan Eng masih berbisa," katanya.
Umno sebelum ini merancang untuk berhimpun bagi mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan bahawa status adendum berkenaan sekadar khabar angin.
Pada 31 Dis lalu Lim mengingatkan bahawa kerjasama antara Umno dan PAS dalam perhimpunan solidariti untuk Najib boleh menimbulkan keraguan terhadap kedudukan Umno dalam kerajaan.
Kata Ahli Parlimen Bagan itu lagi, penglibatan Umno dalam program PAS itu juga akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan Umno dalam membentuk kerajaan pada 2022 atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Istana Negara pada 3 Dis lalu mengeluarkan kenyataan meminta agar semua pihak menghormati perlembagaan dan undang-undang berhubung pengampunan atau peringanan hukuman ke atas mana-mana banduan.
Ekoran kenyataan tersebut Umno memutuskan untuk membatalkan rancangan berhimpun mereka. Sebaliknya pihak pembangkang - diketuai PAS - meneruskan rancangan tersebut.
Hari ini dalam keputusan 2-1, panel hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kes tersebut perlu dikembalikan ke mahkamah tinggi untuk didengar.
Sambil mengingatkan bahawa kerajaan masih boleh bertahan jika Umno disingkirkan, Mahathir juga memberi amaran bahawa yang akan lebih terkesan ialah pemimpin parti berkenaan.
Tanpa kedudukan dan kuasa, katanya, pemimpin terbabit akan terjejas.
"Inilah nasib Umno. Keselamatan pemimpin Umno bergantung kepada (penyertaan) dalam kerajaan. Sokongan DAP diperlukan," dakwanya.