Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada kemungkinan pelajar SPM dilenyek kereta pegawai polis - Saksi

Mahkamah Tinggi di Ipoh hari ini diberitahu bahawa pelajar tingkatan lima Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie berkemungkinan telah dilenyek oleh kereta jenis Perodua Ativa dipandu pegawai kanan polis ketika perlanggaran berlaku pada 15 Dis 2023.

Ketua Unit dan Penganalisa Kemalangan Prinsipal Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Ahmad Noor Syukri Zainal Abidin, 42, berkata perlanggaran pertama antara Perodua Ativa dan motosikal berlaku di luar lingkungan penglihatan kamera papan pemuka.

“Namun rakaman itu menunjukkan pergerakan sesaran menegak oleh Perodua Ativa, sejurus selepas perlanggaran pertama.

“Justeru, berdasarkan lokasi penunggang motosikal jatuh di bahagian tengah hadapan Perodua Ativa (kedudukan penunggang jatuh di laluan pergerakan Perodua Ativa), berkemungkinan Perodua Ativa berkenaan telah melenyek penunggang motosikal yang jatuh tersebut, manakala motosikal yang berada dalam keadaan berbaring telah terbabas ke arah kanan (ke arah seberang jalan),” kata saksi pendakwaan ke-31 itu.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada perbicaraan kes Mohd Nazri Abdul Razak, 46, pegawai polis berpangkat DSP yang didakwa membunuh Muhammad Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di Ipoh antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Dis 2023.

Ahmad Noor Syukri berkata daya daripada perlanggaran terbabit telah mengakibatkan motosikal terjatuh ke sebelah kiri dan menyebabkan mangsa jatuh di bahagian tengah hadapan Perodua Ativa.

Beliau yang berkhidmat di Penyiasatan dan Pembinaan Semula Kemalangan MIROS selama 17 tahun berkata penyiasatan di kawasan kemalangan pula telah menemukan kesan minyak di bahagian seberang dari titik perlanggaran, iaitu konsisten dengan lokasi kedudukan akhir motosikal seperti dalam rakaman video kamera papan pemuka.

“Penyiasatan di kawasan kemalangan juga tidak menemukan sebarang kesan brek (skid mark) daripada kedua kenderaan.

“…. yang membuktikan bahawa tiada tindakan membrek yang drastik dilakukan oleh kedua-dua pemandu dan penunggang sejurus sebelum perlanggaran pertama berlaku,” katanya.

Selain itu, beliau berkata daripada pengumpulan data dan analisis yang dijalankan oleh pasukan MIROS, perlanggaran pertama dalam bentuk rear-end collision (perlanggaran dari belakang) berlaku dalam keadaan Perodua Ativa sedang mengekori terlalu rapat motosikal berkenaan tanpa jarak selamat.

“Kelajuan purata pada jarak lebih kurang 50 meter sebelum point of impact (tempat perlanggaran) bagi Perodua Ativa adalah 89.76 kilometer per jam (km/j) manakala motosikal adalah 94.92 km/j,” katanya.

Sementara itu, semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz, beliau meminta Ahmad Noor Syukri menjelaskan maksud dua situasi yang membolehkan perlanggaran pertama berlaku seperti dalam pernyataan.

Ahmad Noor Syukri berkata analisis situasi pertama lebih tepat iaitu Perodua Ativa terus bergerak dalam kelajuan yang konsisten manakala motosikal memperlahankan kenderaan ketika menghampiri point of impact.

Beliau memilih situasi pertama berbanding situasi kedua iaitu motosikal bergerak dengan kelajuan konsisten manakala Ativa memecut ketika menghampiri point of impact selepas membaca laporan Event Data Recorder (EDR) yang disediakan oleh pihak Perodua di mahkamah hari ini.

Bagaimanapun, peguam M Athimulan mengemukakan bantahan laporan yang dibuat pasukan penyiasat Miros di bawah Seksyen 399 Kanun Acara Jenayah dengan menyatakan bahawa keterangan saksi adalah berdasarkan pakar dan bukannya fakta.

Hakim Bhupindar Singh membenarkan laporan itu ditanda sebagai ekshibit dan meminta kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan untuk mengemukakan hujahan masing-masing pada akhir kes pendakwaan berhubung perkara itu.

Perbicaraan bersambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS