Presiden MCA Wee Ka Siong menyindir kerajaan berkata seseorang telah "kantoi" selepas pasukan peguam bekas perdana menteri Najib Razak mengemukakan sepucuk surat dari Istana Pahang kepada mahkamah hari ini.
“Kan saya dah kata kalau ada katalah ada, kalau tiada maka katalah tiada. Berterus-terang soalan simple, jawapan mudah.
"Sekarang terbukti ada, wujud dan sahih. Macam mana? Siapa pula perlu dipersalahkan?
"Eh itulah dah cakap tapi tak mahu dengar. Kan dah kantoi. Malu apa, malu apa,” soal Wee berulang kali dalam klip video pendek yang dimuat naik di laman media sosialnya.
Dalam video itu, Wee dilihat sedang menikmati teh sebelum memberikan komen tersebut.
Surat Istana Pahang
Terdahulu hari ini, peguam Najib Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan sepucuk surat kepada Mahkamah Rayuan yang mengesahkan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, telah mengeluarkan dokumen tambahan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 untuk Najib.
Surat itu, yang ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Pahang, Ahmad Khirrizal Ab Rahman, mengesahkan Sultan Abdullah mengarahkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Berikutan itu, Mahkamah Rayuan memutuskan memihak kepada permohonan Najib dan mengarahkan perkara tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk pendengaran merit semakan kehakiman.
Wee pernah kritik Anwar
Pada 14 Disember tahun lalu, Wee mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana enggan mengesahkan kewujudan dokumen tambahan diraja tersebut.
Anwar sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat dia tidak dapat menjawab soalan tersebut kerana tertakluk kepada peraturan parlimen mengenai perbincangan sub judis dan kerana Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu belum memberikan kebenaran.
MCA kini hanya mempunyai dua ahli parlimen Wee Ka Siong dan naib presidennya, Wee Jeck Seng, yang mewakili kerusi parlimen Tanjung Piai.