KES 1MDB | Perbicaraan membabitkan Najib Razak hari ini ditangguhkan lebih awal selepas bekas perdana menteri terbabit didakwa tidak tidur sejak tiga atau empat hari lalu.
Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan perkara itu kepada hakim Collin Lawrence Sequerah yang bersidang kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Kata Shafee, Najib tidak tidur kerana terlibat dalam kes rayuan mengenai titah tambahan (adendum) yang keputusannya dibacakan panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan hari ini.
Perbicaraan melibatkan pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB bernilai RM2.27 bilion itu sepatutnya berlanjutan sehingga petang.
Sebelum itu Shafee memohon kepada Sequerah agar perbicaraan ditangguhkan lebih awal pada hari ini sebelum disambung pagi esok untuk membolehkan Najib berehat.
“Anak guam saya, Najib, disebabkan apa yang dia jangkakan pagi ini (perbicaraan rayuan tambahan diraja di hadapan Mahkamah Rayuan), dia tidak tidur sejak tiga atau empat hari lepas.
"Dia berasa tidak sihat," kata Shafee.
Dia menambah, seorang lagi peguam bela Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, juga berada dalam keadaan yang sama.
Semasa perbicaraan awal petang tadi, Wan Azwan Aiman turut menunjukkan kepada mahkamah bahawa dia sedang mengambil ubat.
Sequerah kemudian menangguhkan perbicaraan awal petang ini, dan mengarahkan prosiding disambung semula pagi esok.
Mahkamah Rayuan awal petang ini membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman agar adendum diraja yang didakwa membenarkan ahli politik terbabit menghabiskan baki hukuman penjaranya di rumah dikuatkuasakan.
Mahkamah Rayuan mengarahkan agar perkara itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman Najib.
Pada 30 Okt lalu, mahkamah jenayah memerintahkan Najib membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana 1MDB.
Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Kamal Baharin Omar.