Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembangkang: Anwar sembunyi titah adendum, derhaka besar pada raja
Diterbitkan:  Jan 6, 2025 5:00 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Pemimpin pembangkang mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyembunyikan titah adendum yang dikatakan membenarkan bekas perdana menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin berkata tindakan perdana menteri itu merupakan penderhakaan besar kepada Yang di-Pertuan Agong dan negara.

“Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini membuktikan ada pihak secara sengaja bertindak menyembunyikan Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong dan mengkhianati prinsip berterus-terang (candour principle) yang sepatutnya dijunjung kerajaan.

"Sebagai Perdana Menteri, beliau terikat dengan ikrar sumpah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong serta Perlembagaan Persekutuan dan sebarang keingkaran, menyembunyi atau menafikan titah Yang di-Pertuan Agong merupakan penderhakaan besar kepada raja dan negara," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan untuk menguatkuasakan titah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong yang lalu.

Dalam keputusan 2-1, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh hakim Azizah Nawawi memutuskan agar kes ini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman.

Peguam Najib, Muhammad Shafie Abdullah mengemukakan kepada mahkamah sepucuk surat daripada istana Pahang, yang mengesahkan kewujudan titah tambahan itu.

Hamzah menegaskan bahawa adalah tidak mungkin Anwar tidak tahu mengenai kewujudan titah berkenaan.

"Adalah tidak mungkin seorang Perdana Menteri tidak mengetahui kewujudan titah tambahan Yang di-Pertuan Agong.

"Perdana Menteri bertanggungjawab sepenuhnya bagi melaksanakan mana-mana titah Yang di-Pertuan Agong termasuklah titah adendum,” katanya.

PAS gesa Anwar letak jawatan

Berkongsi pandangan yang sama, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menggesa Anwar meletak jawatan, dengan mendakwa tindakan kerajaan itu merupakan pencabulan serius hak Najib untuk mendapatkan perbicaraan dan keadilan.

"Tindakan menafikan kewujudan titah addendum ini mencerminkan ketidakjujuran kerajaan dalam menangani isu keadilan dan hak individu.

"Ini bukan sahaja mencemarkan sistem kehakiman negara tetapi juga mencetuskan persoalan besar mengenai integriti kepimpinan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Fadhli berkata keputusan Mahkamah Rayuan hari ini juga membuktikan bahawa kerajaan telah memanipulasi fakta serta berusaha menutup kebenaran daripada rakyat

"Perdana Menteri seharusnya bertanggungjawab sepenuhnya atas krisis keyakinan ini dan mengambil langkah terhormat dengan meletakkan jawatan segera.

"Dengan keputusan mahkamah ini, kerajaan sedia ada telah hilang kewibawaan dan kredibiliti untuk terus mentadbir negara,” tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS