Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang berhubung larangan tayangan dan publisiti filem itu.
Hakim Amarjeet Singh menyampaikan keputusan itu pada prosiding yang dihadiri peguam persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali, yang mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan selaku responden.
"Ini keputusan mahkamah, permohonan semakan kehakiman ditolak," kata Amarjeet.
Peguam N Surendran yang mewakili pengarah filem itu, Mohd Khairianwar Jailani, dan penerbitnya, Tan Meng Kheng, ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Dalam permohonan yang difailkan pada Dis 2023, Mohd Khairianwar, 32, dan Tan, 37, mendakwa keputusan kerajaan mengharamkan filem itu adalah tidak rasional dan melanggar kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mereka mendakwa keputusan itu turut menjejaskan pendapatan masing-masing kerana Mentega Terbang tidak dapat ditayangkan atau diedarkan ke mana-mana dalam negara.
Sebelum ini KDN mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan PU (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh menterinya Saifuddin Nasution Ismail.
Filem yang ditayang menerusi platform penstriman video itu mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.
Pada 17 Jan 2024, Mohd Khairianwar dan Tan masing-masing mengaku tidak bersalah di mahkamah majistret atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain menerusi filem itu.
- Bernama