Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
EAIC dedah pegawai JAS cuba lepaskan kontena ada sisa elektronik
Diterbitkan:  Jan 6, 2025 3:08 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan kegagalan prosedur dan isu pengawasan yang ketara dalam Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung pengendalian kontena sisa elektronik yang berada di Westports, Pelabuhan Klang.

Pada Mei 2024, EAIC menerima maklumat yang menyatakan kemungkinan terdapat salah laku oleh pegawai JAS kerana memberi kebenaran untuk melepaskan kontena yang disyaki mengandungi sisa elektronik. Pada masa itu, kontena berkenaan masih berada di Westports.

Susulan itu, EAIC menubuhkan pasukan petugas di bawah Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 untuk menyiasat dakwaan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, EAIC mengesahkan bahawa siasatan telah dibuat selain mendedahkan kesilapan serius dalam pengendalian JAS terhadap perkara itu dan mengemukakan cadangan untuk penambahbaikan.

Penemuan utama

EAIC mengesahkan kontena-kontena tersebut masih berada di Westports namun penemuan mendapati terdapat ketidakaturan seperti berikut:

  1. Cubaan daripada pegawai JAS untuk melepaskan kontena-kontena tersebut tanpa punca kuasa yang jelas dan justifikasi yang wajar.

  2. Terdapat kebocoran maklumat dalaman berkaitan pertukaran Pengarah / Pegawai dan Pengarah / Pegawai baharu akan melepaskan kontena-kontena tersebut;

  3. Pihak atasan JAS gagal mengambil tindakan berhubung isu kebocoran maklumat ini.

  4. Terdapat kelewatan penyelesaian kertas siasatan oleh JAS berkaitan dengan kontena-kontena tersebut yang juga berpunca daripada kelemahan penyeliaan.

  5. Kelewatan yang amat sangat mengenai pengendalian kes berkenaan boleh menyebabkan kerugian kepada Kerajaan dan pencemaran alam sekitar tidak dapat dibendung dan dilindungi dengan segera.

Berdasarkan penemuan ini, EAIC mencadangkan beberapa langkah untuk menangani kelemahan prosedur JAS dan mencegah insiden sama berulang di masa depan:

  1. Tindakan tatatertib diambil serta mengenakan hukuman yang sewajarnya terhadap pegawai-pegawai JAS yang terlibat.

  2. Penambahbaikan kepada Prosedur Tetap Operasi (PTO) JAS dan Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan (ATOP) JAS kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Awam untuk tindakan selanjutnya.

  3. Memanjangkan dapatan siasatan dan pengesyoran bersama-sama dengan laporan EAIC kepada Ketua Setiausaha Negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS