Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno mohon ihsan Agong beri Najib pengampunan penuh
Diterbitkan:  Jan 6, 2025 2:36 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Kemungkinan Najib Razak boleh dikenakan tahanan rumah tidak memadai buat Umno.

Sebaliknya, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamid berkata, Najib harus diberikan kebebasan sepenuhnya.

“Umno memohon ihsan, kebijaksanaan dan keadilan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh buat Najib selaras kuasa prerogatif Baginda di bawah peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi memaksa kerajaan menguatkuasakan titah yang didakwa oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini yang membolehkan Najib ditahan di rumah.

Sepucuk surat daripada istana Pahang diserahkan kepada mahkamah hari ini, yang mengesahkan titah tambahan itu adalah benar.

Zahid turut melahirkan penghargaan kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kerana mengesahkan kewujudan tambahan itu.

“Saya juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli Umno serta penyokong setia yang tidak pernah lelah memberikan sokongan dan doa sepanjang perjalanan ini,” katanya.

Sebelum perbicaraan hari ini, Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong semasa, Sultan Ibrahim bertitah bahawa tawaran tahanan rumah Najib mesti dibuat melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Baginda.

Istana Negara kemudian mengeluarkan kenyataan berasingan yang mengesahkan perkara itu pada hari Jumaat lalu.

Najib sedang menjalani hukuman penjara di Kajang selepas didapati bersalah melakukan rasuah berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS