PAS hari ini menganggap pembabitan ahli Umno dalam himpunan solidariti untuk Najib Razak bukan saja menunjukkan mereka masih menerima bekas perdana menteri terbabit.
Sebaliknya kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, mereka menghantar mesej tertentu kepada Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjadi presiden parti berkenaan.
Dakwa Ahmad Fadhli lagi, jika ada peluang ada kemungkinan jumlah ahli Umno yang turut dalam himpunan di Istana Kehakiman di Putrajaya jauh lebih ramai berbanding apa yang ada pada hari ini.
“Ini adalah isyarat kepada (Presiden Umno) Zahid Hamidi bahawa ahli-ahli Umno mahu melihat Datuk Seri Najib diberikan hak dan keadilan yang sepatutnya,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu seperti dilaporkan Harakahdaily di Putrajaya hari ini.
Kira-kira 900 orang berkumpul hari ini apabila mahkamah mendengar permohonan Najib menyemak semula keputusan mahkamah tinggi berhubung kewujudan titah tambahan (adendum) mengenai pelaksanaan hukuman penjara ke atasnya.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.
Adendum yang dibangkitkan itu melibatkan titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengenai kebenaran agar Najib menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.
PAS menggerakkan ahli dan penyokongnya untuk berkumpul sebagai tanda sokongan kepada Najib hari ini.
Kata Ahmad Fadhli, himpunan yang mereka adakan hari ini memang tidak menyelesaian isu tersebut dari aspek undang-undang.
"Tapi hak untuk berhimpun itu dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Ahmad Fadhli menambah, PAS berasa kesal apabila Ahmad Zahid dilihat tidak menggunakan kedudukannya sebagai orang nombor dua dalam kerajaan untuk memastikan ruang lebih selesa disediakan bagi rakyat Malaysia berhimpun secara aman.
Untuk rekod Umno turut merancang mengadakan himpunan pada hari ini namun membatalkan hasrat berkenaan selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan berhubung prosedur dan hak prerogatif Agong memberi pengampunan kepada mana-mana banduan.
Polis juga memberi pandangan agar tiada sebarang himpunan diadakan pada hari ini.
Sementara itu Ahmad Fadhli memuji polis yang bertugas dengan profesional, tetapi tetap menegaskan bahawa tanggungjawab utama terletak pada kerajaan untuk memberikan kelonggaran kepada rakyat berhimpun.
Dia turut membandingkan tindakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika ini dengan sikapnya sewaktu menjadi pembangkang.
“Bukankah beliau dahulu sering mengajak rakyat untuk berhimpun bila ada isu yang melibatkan dia?
“Rakyat diajak untuk berhimpun dan turun ke jalan raya, tapi sangat pelik apabila dia jadi kerajaan pada hari ini beliau sendiri menyekat rakyat daripada berhimpun,” katanya.