Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih: Penyokong Najib nak pakai baju kami, silakan

Bersih mengalu-alukan mana-mana individu yang ingin memakai baju-t badan pemantau pilihan raya itu untuk himpunan solidariti bekas perdana menteri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.

Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz  berkata dia juga  tidak mempunyai masalah dengannya.

Bagaimanapun, Faisal menyindir bahawa terdapat risiko penahanan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma seperti yang dilakukan semasa Najib memerintah.

Sosma memberikan kuasa kepada polis untuk menangkap dan menahan seseorang tanpa waran selama 28 hari atas sebab-sebab keselamatan negara, walaupun tahanan diberikan hak untuk berunding dengan peguam.

“Nak pakai Baju Bersih? Silakan.

“Bila bicara soal hak kebebasan untuk berhimpun, ya ia adalah hak asasi yang harus diberikan kepada rakyat tidak terhad kepada zaman siapa yang jadi kerajaan atau pembangkang. 

“Saya gesa supaya pihak berkuasa tidak menahan beliau bawah mana-mana undang-undang terutama di bawah Sosma seperti yang dilakukan oleh kerajaan pada tahun 2016 ke atas pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah ketika penganjuran himpunan Bersih 5,” katanya pada siri ciapan di X.

Faisal Abdul Aziz 

Faisal berkata demikian susulan sindiran yang dibuat anak Najib Razak, Nooryana Najwa sama ada mereka yang memakai kemeja-t Bersih boleh melepasi sekatan jalan di Putrajaya bagi menghalang perhimpunan solidariti untuk bekas perdana menteri keenam itu, hari ini.

Nooryana menyatakan kehairanannya tindakan sebegitu berlaku bawah kerajaan hari ini.

"Ketika era 'reformasi'? Kalau pakai baju Bersih boleh lepas tak (sekatan jalan)," katanya pada Instagram Story malam tadi.

Hari ini berlangsung prosiding rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman serta notis usulnya untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum.

Sementara itu, tiga bas yang membawa penyokong Najib dari Langkawi, Kedah dan Pekan, Pahang dilaporkan tidak dibenarkan masuk ke Putrajaya pagi tadi selepas dihalang sekatan jalan raya polis.

Nooryana Najwa

Ketika ini dilaporkan sekurang-kurangnya 1,000 penyokong PAS dan Najib menunggu keputusan mahkamah mengenai titah addendum.

Sementara itu, bekas setiausaha jawatankuasa Bersih Mandeep Singh membalas sindiran Nooryana Najwa anak kepada bekas perdana menteri Najib Razak atas kenyataannya mengenai sekatan jalan oleh polis.

"Ah, sekarang baru rasa ya? Ini adalah kaedah yang sama digunakan oleh bapa kamu dahulu terhadap kebanyakan protes yang kami anjurkan sebelum ini.

"Mungkin kamu lupa... kami juga ditahan pada malam sebelumnya kerana bapa kamu takut dengan rancangan protes di KL," katanya pada siri ciapan di X.

Mandeep beberapa kali ditahan polis ketika Najib menjadi perdana menteri, termasuk pada hari sebelum demonstrasi berlangsung.

Mandeep turut ditahan bersama Pengerusinya Maria Chin Abdullah menjelang perhimpunan Bersih pada November 2016.

Dalam pada itu, Mandeep yang juga pegawai khas kepada Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata dia tidak setuju dengan tindakan polis mendirikan sekatan jalan di Putrajaya untuk menghalang perhimpunan.

"Saya tidak bersetuju dengan PDRM untuk mendirikan sekatan jalan di seluruh Putrajaya.

"Saya sentiasa menyokong kebebasan berhimpun, yang merupakan hak asasi setiap warganegara seperti yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Bagaimanapun, Mandeep mengkritik rancangan perhimpunan solidariti untuk Najib itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS