Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Surat Istana Pahang sahkan kewujudan titah adendum Najib diserah ke mahkamah
Diterbitkan:  Jan 6, 2025 11:45 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

Sepucuk surat yang mengesahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memperkenan supaya bekas Perdana Menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan surat itu di hadapan Mahkamah Rayuan, Putrajaya, pagi ini.

Surat daripada Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari lalu itu ditujukan kepada anak Najib, Mohamad Nizar dan ditandatangani Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Ahmad Khirrizal Ab Rahman.

Berdasarkan kandungan surat itu, Sultan Abdullah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (house arrest) melalui titah adendum bertarih 29 Januari 2024.

“Sehubungan dengan itu, melalui surat ini, saya bagi pihak Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah dengan ini memperakukan bahawa Titah Adendum Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku termaksud adalah wujud dan sahih,” demikian seperti dipetik dalam surat tersebut.

Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan kes rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman serta notis usul difailkannya untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum.

Prosiding hari ini didengar panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Azizah Nawawi, Azhahari Kamal Ramli dan Mohd Firuz Jaffril.

Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Najib mendakwa titah adendum itu akan membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS