Harga rumah kediaman dua tingkat di Lembah Klang terutamanya di Kuala Lumpur (KL) dan Petaling Jaya (PJ), ia dijangka meningkat antara 3.0 hingga 4.0 peratus tahun ini.
Dalam membuat unjuran itu, pempengaruh hartanah popular dan ‘YouTuber’ (Penggiat YouTube) Sean Tan berkata unjuran tersebut adalah benar khususnya di kawasan permintaan tinggi seperti Desa ParkCity, Bangsar dan Mont Kiara di Kuala Lumpur.
Beliau berkata bagi mereka yang mencari rumah bertanah di Lembah Klang, hartanah bertanah terus menunjukkan prestasi yang baik terutamanya komuniti berpagar dan mempunyai perkhidmatan pengawal keselamatan kerana pembeli rumah mahu kediaman yang selamat.
"Di kawasan seperti Desa ParkCity, unit kediaman adalah terhad dan kualiti hidup tinggi, kita sudah melihat harganya melambung tinggi," katanya kepada Bernama selepas muncul dalam program “The Nation: terbitan Bernama TV dihoskan oleh Gerard Ratnam.
Bagaimanapun, Tan berkata harga mungkin mencecah harga siling bagi rumah bertanah terutamanya di kawasan kejiranan lama seperti SS2 (PJ) dan Kepong (KL) disebabkan kekangan kemampuan dan persaingan daripada pembangunan yang baharu dan lebih selamat.
Beliau juga berkata hartanah perindustrian bakal menjadi mencatatkan prestasi baik pada 2025, terutamanya di Johor dan Lembah Klang dengan lokasi seperti Jelutong di Pulau Pinang dan Lagong di Selangor menjadi lokasi popular.
Secara keseluruhan, Tan berkata pasaran hartanah tahun ini dijangka menyaksikan beberapa siri anjakan yang dibentuk oleh keadaan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan pilihan pembeli yang berubah-ubah.
Untuk mendapatkan tawaran terbaik berdasarkan keutamaan, beliau menggesa pembeli untuk melihat data, memahami dinamik permintaan-bekalan unit kediaman dan menyedari perkembangan infrastruktur yang boleh menjejaskan nilai hartanah secara mendadak.
“Jika anda seorang pembeli rumah kali pertama, fokus kepada mencari tempat yang memenuhi keperluan anda pada harga berpatutan, bagaimanapun jika anda mahu melabur, pastikan anda menyasarkan kawasan dengan hasil sewa kukuh, bekalan unit kediaman terhad dan melilhat kepada pertumbuhan masa depan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai hartanah perindustrian dengan lokasi seperti Jelutong dan Lagong menjadi kawasan popular tahun ini, Tan berkata ia didorong oleh harga tanah yang kompetitif dan pembangunan infrastruktur baharu.
"Syarikat multinasional akan berminat kerana tanah kita masih murah dan ia mendorong banyak perbandaran di sekitar Lembah Klang," katanya.
Selain itu, beliau berkata penyiapan projek infrastruktur baharu seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kelantan ke Selangor dan Transit Aliran Ringan di Pulau Pinang akan memastikan prestasi jualan hartanah lebih baik di kawasan mempunyai rangkaian pengangkutan tersebut.
Selain itu, Tan berkata beliau melihat Pahang, Kelantan dan juga kawasan seperti Puncak Alam menawarkan peluang pertumbuhan.
Beliau berkata kejayaan pembangunan perindustrian dan lebuh raya seperti Lebuhraya Pantai Barat, mengubah kawasan yang tidak mendapat perhatian sebelum ini menjadi lokasi untuk pembangunan hartanah.
- Bernama