Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Himpunan solidariti Najib: Anak jantan hadir, kata Akmal Saleh
Diterbitkan:  Jan 6, 2025 10:57 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh hadir ke perhimpunan untuk menunjukkan solidaritinya terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Dalam catatan Facebook, Adun Merlimau dan exco kerajaan negeri Melaka itu menulis “anak jantan hadir sendiri bersama rakyat”.

“Bukan duduk dalam hotel dan pergunakan rakyat,” katanya yang dipercayai sebagai sindiran yang ditujukan kepada beberapa pemimpin Umno tertentu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki mengeluarkan arahan untuk membatalkan perhimpunan tersebut.

Katanya, keputusan itu diambil atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan sebagaimana gesaan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Semalam, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin dan ahli Umno yang masih mahu menyertai perhimpunan solidariti untuk Najib di Putrajaya hari ini, perlu menanggung risiko sendiri. 

Hari ini, adalah perbicaraan kes rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman serta notis usul difailkannya untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum.

Prosiding hari ini didengar panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Azizah Nawawi, Azhahari Kamal Ramli dan Mohd Firuz Jaffril.

Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Najib mendakwa titah adendum itu akan membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS