Mahkamah Rayuan hari ini akan mendengar permohonan Najib Razak untuk kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun lalu yang akan membolehkan dia menjalani tahanan rumah.
Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan dari kamar mahkamah dan demonstrasi yang digerakkan PAS di Putrajaya.
Penyokong mula bersurai
2.30 pm: Penyokong Najib Razak mula bersurai selepas mereka berjumpa dengan anak Najib, Nazifuddin, yang menyapa hadirin ketika dia meninggalkan perkarangan mahkamah.
Hanya segelintir penyokong dan ahli media yang masih kelihatan berkumpul di pintu masuk belakang kompleks itu.
2.05 pm: Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan yang akhirnya memutuskan bahawa titah adendum untuk Najib menjalani tahanan rumah benar-benar wujud.
Katanya, keyakinan pembangkang bahawa titah adendum wujud akhirnya dibuktikan mahkamah.
"Saya boleh menerima alasan diberi kerana kita dalam Parlimen telah menyatakan perkara itu kita percaya adendum itu wujud selagi tak dibukti sebaliknya.
"Perdana menteri kata beliau tak boleh beri penjelasan kes ada di mahkamah sebab itu kita datang," katanya yang bertindak sebagai peguam pemerhati ahli Parlimen pembangkang.
Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar pula berkata sayap parti itu akan menggerakan laporan polis di seluruh negara terhadap pengkhianat yang menyorok titah adendum.
Selain itu, dia juga menjangkakan satu lagi himpunan besar-besar akan diadakan selepas keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.
Penyokong tunggu Najib keluar
2 pm: Kira-kira 100 penyokong Najib Razak yang menunggu di pintu belakang lobi Istana Kehakiman, masih mengharapkan mereka dapat melihat kelibat bekas perdana menteri itu.
Bagaimanapun, difahamkan Najib tidak akan keluar dalam masa terdekat kerana dia perlu menghadiri perbicaraan kes 1MDB di premis yang sama.
Pihak polis masih mengadakan kawalan ketat di sekitar Istana Kehakiman dan kawasan berhampiran.
Ini kerana, sebahagian besar penyokong masih belum bersurai. Berbanding pagi tadi, jumlah penyokong semakin berkurangan selepas keputusan rayuan adendum dibacakan.
Laungan ‘Daulat Tuanku’ bergema, penyokong bergembira
1.35 pm: Penyokong Najib meraikan keputusan Mahkamah Rayuan.
Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh, yang berada di bilik mahkamah sebelum ini, mengetuai orang ramai melaungkan "Daulat Tuanku" beberapa kali.
Dia kemudian meninggalkan kompleks mahkamah dengan menaiki sebuah kereta.
Mahkamah benarkan rayuan semakan Najib
1.14 pm: Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib bagi mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun lalu.
Ia supaya bekas perdana menteri itu dibenarkan menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Panel tiga hakim dalam keputusan 2-1 memerintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar merit semakan kehakiman yang dikemukakan.
Dua hakim Azhahari Kamal Ramli dan Mohd Firuz Jaffril bersetuju membenarkan semakan Najib manakala pengerusi panel hakim, Azizah Nawawi menyampaikan keputusan tidak bersetuju.
Semasa membacakan keputusan majoriti, Firuz berkata tiada sanggahan daripada responden yang mencabar kewujudan dakwaan titah adendum itu.
Firuz berkata Najib menunjukkan kes itu boleh dipertikaikan.
Najib, 71, memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu.
Najib menamakan menteri dalam negeri, komisioner jeneral penjara, peguam negara, Lembaga Pengampunan; menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), ketua pengarah bahagian undang-undang di JPM serta kerajaan sebagai responden dalam permohonannya.
Bekas ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
1.02 pm: Mahkamah Rayuan bersidang semula.
Ribuan penyokong berkumpul
12.30 tengah hari: Lebih 900 penyokong berkumpul pada perhimpunan itu dan mereka kebanyakannya berada di kawasan belakang dan di bahagian hadapan Istana Kehakiman, menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed.
"Kami menganggarkan lebih 900 penyokong setakat 10 pagi. Keadaan setakat ini terkawal," katanya dipetik The Star.
Bagi mengawasi perhimpunan itu, 456 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya dan Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur telah dikerahkan ke Istana Kehakiman dan kawasan sekitarnya.
Aidi Sham juga berkata pihak polis mengadakan tiga sekatan jalan raya di sepanjang laluan utama menuju ke lokasi itu mulai 8 malam pada Ahad (5 Jan).
Nizar bersalaman dengan penyokong
12.15 tengah hari: Laungan "Hidup Bossku!" bergema di perkarangan Istana Kehakiman ketika anak bekas perdana menteri Najib Razak, Nizar, muncul di pintu masuk belakang untuk bersalaman dengan penyokong.
Exco negeri Pahang itu meluangkan masa beberapa minit untuk menyapa hadirin di seberang pagar sebelum masuk semula ke dalam bangunan mahkamah.
Mahkamah Rayuan sedang berehat sebentar sebelum bersidang semula pada jam 1 petang ini dengan panel tiga hakim dijangka menyampaikan keputusan mereka berhubung permohonan semakan kehakiman Najib.
Mahkamah tangguhkan keputusan hingga jam 1 petang
11.50 pagi: Mahkamah Rayuan menetapkan jam 1 petang ini untuk menentukan sama ada membenarkan rayuan bekas perdana menteri Najib Razak untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi menguatkuasakan titah tambahan yang didakwa membolehkannya menjalani baki hukuman melalui tahan di rumah.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Azizah Nawawi kemudian menangguhkan prosiding sehingga jam 1 petang hari ini.
Diam dan pekakkan diri bukti adendum wujud
11.43 pagi: Shafee berhujah sikap membungkam menteri dalam negeri dan kerajaan mengenai titah tambahan mengenai tahanan rumah itu membuktikan ia memang wujud.
"Diam sambil memekakkan diri, itu bermakna adendum tersebut wujud," kata peguam Najib kepada Mahkamah Rayuan.
Hakim terganggu AGC tidak cabar titah adendum
11.27 pagi: Hakim Mohd Firuz Jaffril berkata dia terganggu kerana Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak langsung mencabar kewujudan titah tambahan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Katanya, bahawa setakat ini hujah oleh wakil undang-undang untuk Menteri Dalam Negeri, kerajaan dan beberapa yang lain adalah isu teknikal perundangan dan bukannya menafikan kewujudan adendum tersebut.
"Apa yang saya lihat adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara. Tiada apa-apa kenyataan (afidavit balasan) daripada pejabat Peguam Negara (AGC) yang mengenepikan atau mana-mana responden yang menafikan kewujudan titah tersebut.
"Ketiadaan tindakan untuk mencabar kewujudan titah itu, saya terganggu. Saya menyatakan (ia wujud) tetapi kerana anda (pendakwaan) tidak menafikan kewujudannya bermakna anda mengatakan ia wujud.
“Itulah sebabnya. Saya tidak menyatakannya, tetapi saya terganggu," kata Firuz sambil menambah dia hanya meluahkan fikirannya dan masih belum memutuskan sama ada rayuan Najib patut dibenarkan.
Sekiranya Najib memenangi rayuan hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar merit hujah peguamnya bahawa adendum itu memang wujud dan kerajaan mesti memastikan ia dikuatkuasakan.
‘Adendum tidak dibincangkan’
11:06 pagi: Prosiding Mahkamah Rayuan bersambung semula dengan peguam kanan persekutuan yang mewakli Lembaga Pengampunan berhujah bahawa lembaga itu pada 29 Jan tahun lepas hanya mengendalikan titah untuk mengurangkan hukuman penjara dan denda Najib.
Menurut Shamsul Bolhassan, mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari tahun lalu tidak menyentuh mengenai sebarang dakwaan titah tambahan untuk Najib menjalani baki tempoh penjara tertuduh sebagai tahanan rumah.
Wakil dari Jabatan Peguam Negara (AGC) itu berkata Mahkamah Rayuan sepatutnya menolak cubaan untuk mengakui afidavit oleh anak Najib, Nizar.
Afidavit Nizar mendakwa bahawa Istana Pahang mengesahkan dengannya bahawa titah mengenai tahanandi rumah itu wujud.
Mahkamah rehat seketika
10.52 pagi: Mahkamah Rayuan menangguhkan prosiding seketika.
Ia dijangka disambung semula dalam masa kira-kira 10 minit.
MB Kedah tiba di Putrajaya
10.40 pagi: Orang ramai melaungkan “Allahuakbar” beberapa kali ketika Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor tiba di kompleks mahkamah.
Dia hadir bersama Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan sekumpulan ahli parti.
Sanusi bagaimanapun enggan ditemu bual.
Saya tunggu nak jumpa Akmal, kata Fadhli Shaari
10.30 pagi: Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari berkata dia sedang menunggu untuk berjumpa dengan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.
"Saya sedang tunggu untuk berjumpa dengannya," katanya kepada pemberita di luar kompleks mahkamah.
Kenyataannya itu sebagai menjawab soalan sama ada kedua-dua mereka akan berjumpa hari ini, kerana Akmal sebelum ini mencabar Fadhli untuk bersua muka berhubung catatan Facebook samar Fadhli.
Fadhli pada Sabtu menyiarkan kenyataan samar di media sosial yang kelihatan membidas Umno kerana membatalkan rancangannya untuk menyertai perhimpunan hari ini.
Nyawa, kebebasan Najib terancam, kata peguamnya
10.17 pagi: Shafee terus berhujah bahawa titah tambahan mengenai tahanan rumah buat Najib wujud.
Dakwanya, adendum itu disembunyikan sehingga ia didedahkan pada 2 Disember tahun lepas.
Shafee berhujah bahawa adendum itu muncul selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak semakan kehakiman tahanan rumah Najib pada Julai tahun lalu.
"(Pada 5 Januari 2025) Nizar menerima salinan dokumen itu, yang merupakan rekod peribadi Sultan Pahang, yang menjelaskan mengapa ia tidak mempunyai tandatangan Sultan.
"Dengan bukti ini, saya percaya kita berjaya menyanggah keputusan mahkamah rendah yang menyatakan empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib termasuk daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Wan Rosdy Wan Ismail, adalah dengar cakap dan tidak boleh diterima.
"Oleh itu, kami memohon supaya bukti tambahan ini diterima supaya kami boleh menghujahkan rayuan ini dengan telus," katanya.
Shafee turut berhujah, mahkamah perlu menerima semua bukti tambahan untuk dimasukkan dalam rayuan.
"Bukan tanggungjawab pemohon (Najib) untuk mendedahkan adendum ini, sebaliknya adalah tanggungjawab badan awam untuk melakukannya," katanya lagi.
Bekas perdana menteri itu memohon untuk mengemukakan bukti tambahan bagi menyokong dakwaannya selepas Mahkamah Tinggi pada 3 Julai 2024 yang menolak permohonannya.
Ketika itu, Hakim Amarjeet Singh, memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan naib presidennya, Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin semata-mata dan tidak boleh diterima sebagai bukti dalam mahkamah.
Khairuddin Abu Hassan turut bersolidariti
10.15 pagi: Khairuddin Abu Hassan, yang dipenjarakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) ketika Najib berkuasa kerana memfailkan laporan berhubung skandal 1MDB dengan FBI dan beberapa pihak berkuasa ain, membuat penampilan mengejut untuk menyokong bekas perdana menteri.
“Kita di sini kerana isu membabitkan Najib. Saya tidak emosi dengan Najib dan saya tidak pernah bermusuhan dengannya.
“Hubungan saya dengan Najib dan Rosmah Mansor kekal utuh,” katanya dipetik The Star.
Tidak jawab surat Najib
10:01 pagi: Shafee berhujah bahawa Menteri Dalam Negeri dan lima responden lain tidak menjawab surat bekas perdana menteri itu berhubung sama ada titah adendum itu wujud atau sebaliknya.
Justeru, katanya Najib terpaksa beralih kepada semakan kehakiman terhadap kerajaan berhubung dakwaan titah berkenaan.
"Seseorang tidak bermain sorok-sorok dengan pemohon (Najib) kerana nyawa dan kebebasannya terancam," kata Shafee.
Merujuk kepada dokumen itu ketika berhujah, peguam tersebut berkata anak sulung Najib mengetahui kewujudan dokumen itu daripada istana di bawah arahan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Shafee berkata, , Mohamad Nizar kemudian memberitahunya diperintah menghadap Sultan Pahang yang memaklumkan kewujudan salinan titah adendum dalam simpanan baginda.
Istana Kehakiman tenang dan terkawal
10.00 pagi: Situasi di luar perkarangan Istana Kehakiman tenang dengan kehadiran kira-kira 1,000 penyokong Umno dan PAS menunggu keputusan mahkamah mengenai titah adendum.
Antara yang kelihatan termasuk ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari dan Ketua Penerangan Umno Pahang Fadzli Mohamad Kamal.
Fadhli memberitahu pemberita bahawa ramai penyokong yang menyertai perhimpunan itu hari ini, terutamanya daripada Umno menandakan sokongan rakyat terhadap Najib untuk dilayan secara adil dan diberi haknya terhadap perintah tambahan yang dikatakan itu.
Pemimpin PAS itu juga mengecam presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan berkata dia percaya perhimpunan hari ini akan disertai lebih ramai lagi sekiranya timbalan perdana menteri menggunakan pengaruhnya untuk menganjurkannya.
“Saya agak kecewa kerana sebagai orang nombor dua dalam kerajaan, dia (Zahid) boleh menggunakan pengaruhnya untuk sekurang-kurangnya membenarkan rakyat datang ke sini hari ini, dan saya percaya jika kebenaran diberikan (oleh pihak berkuasa), orang ramai hari ini akan menjadi berkali-kali lebih besar daripada apa yang ada di sini sekarang," katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Ahmad Yunus Hairi menegaskan kehadiran pemimpin dan ahli parti itu bersolidarti untuk Najib demi keadilan.
Mereka hadir untuk mendengar sendiri mengenai keputusan titah adendum dan tidak sama sekali derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.
Adik Zahid bidas abangnya
9:45 pagi: Di luar mahkamah, adik kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi iaitu, Abdul Hakim membidas tindakan abangnya yang menyekat ahli parti itu untuk bersolidarit dengan Najib.
Katanya, tindakan sebegitu tidak sewajarnya berlaku kerana himpunan ini merupakan solidariti kepada bekas presiden Umno.
Namun, demi menjaga hubungannya dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid mengenepikan Najib.
"Ia sepatutnya mengasingkan antara pentadbiran dan solidariti, ini solidariti untuk bekas presiden Umno.
"Tapi demi hubungannya dengan yang nombor satu (Anwar), dia sanggup menghalang ahli Umno daripada turun bersolidarti," katanya Abdul Hakim yang kini adalah ahli PAS seumur hidup.
Titah adendum wujud, kata Shafee
9.40 pagi: Peguam Muhammad Shafee berhujah bahawa anak Najib, Nizar telah dihubungi oleh Istana Pahang pada 4 Januari lalu memaklumkan bahawa surat akan dikeluarkan kepada Nizar.
Dalam permohonannya mengenai notis usul berkaitan, Shafee berhujah bahawa sehari kemudian pada 5 Jan, Nizar menerima surat yang mengesahkan kewujudan tambahan diraja yang membenarkan Najib menjalani tahanan rumah.
Sultan Pahang sekarang ialah Yang di-Pertuan Agong pada akhir Januari apabila Lembaga Pengampunan mengeluarkan nasihat diraja untuk hukuman penjara 12 tahun Najib dan denda RM210 juta didiskaun kepada enam tahun dan RM50 juta.
9.27 pagi: Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan pasukannya telah memfailkan permohonan untuk meminda notis usul berkaitan rayuan bekas perdana menteri itu.
Hakim Azizah kemudian mengarahkan permohonan pindaan itu didengar sekarang bersama rayuan utama.
Permohonan pindaan itu bertujuan untuk meminda afidavit oleh anak Najib, Nizar bagi menyokong permohonan bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi melaksanakan addendum diraja yang didakwa.
Pindaan tersebut adalah bagi membolehkan Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah.
9.22 pagi: Peguam Takiyuddin Hassan yang juga adalah setiausaha agung PAS memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia dan tiga lagi ahli parlimen memohon sebagai ‘peguam permerhati’ atau watching brief.
Katanya, dia mewakili ahli Parlimen Malaysia bersama tiga lagi rakannya iaitu Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden Bersatu i Ronald Kiandee memohon untuk hadir ke prosiding hari ini.
Katanya, mereka berusaha untuk mengikuti prosiding itu sebagaimana Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat tahun lalu bahawa dia tidak dapat mengulas mengenai dakwaan tambahan titah diraja tersebut kerana ia adalah subjudis.
Prosiding mahkamah bermula
9.21 pagi: Prosiding bermula dengan dengan Hakim Mahkamah Rayuan Azizah Nawawi mempengerusikan panel itu.
Turut bersidang sama adalah Hakim Azhahari Kamal Ramli dan Hakim Mohd Firuz Jaffril.
Anak jantan hadir, kata Akmal Saleh
9.15am: Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh hadir di Istana Kehakiman.
Dalam catatan Facebook, dia menulis “anak jantan hadir sendiri bersama rakyat”.
“Bukan duduk dalam hotel dan pergunakan rakyat,” katanya yang dipercayai sebagai sindiran yang ditujukan kepada beberapa pemimpin Umno tertentu.
Bagaimanapun, Akmal tidak berhimpun bersama penyokong Najib di luar mahkamah. Dia sempat menyapa dan melambai kepada hadirin dan terus masuk ke kompleks mahkamah.
Roti, air percuma
9 pagi: Beberapa sukarelawan termasuk dari Unit PAS Amal mengagihkan pek roti dan botol air kepada penyokong Najib dan wartawan yang sedang berkumpul di pintu masuk belakang kompleks mahkamah.
Tidak diketahui siapa penaja barangan tersebut.
Seorang sukarelawan sekadar memaklumkan bahawa penaja mahu kekal tanpa nama.
Najib dibawa masuk ke Mahkamah Rayuan
8.58 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak dikawal ketat dan diiiringi ketika dibawa ke mahkamah oleh anggota jabatan penjara.
Dia kemudian menunggu prosiding mahkamah dimulakan.
‘Tiada apa perlu ditakutkan’
9.55 pagi: Ahli dan pemimpin Umno hadir memberi sokongan kepada Najib meskipun parti mengeluarkan arahan membatalkan himpunan solidariti hari ini.
Ketua Umno Subang, Armanda Azha Abu Hanifah berkata, kehadirannya atas kapasiti peribadi sebagai tanda sokongan kepada bekas perdana menteri itu.
Katanya, tiada apa yang perlu ditakutkan dengan kehadiran ahli Umno hari ini hadir untuk mendengar keputusan mengenai Titah Adendum tahanan rumah.
"Saya hadir hari ini sebagai individu, sebagai seorang sahabat kepada Najib, untuk mendengar sendiri keputusan Titah Adendum sama ada ia ada ataupun tidak," katanya.
Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub, berkata kehadiran ahli Umno pagi ini bukan bermakna ingkar akan arahan dikeluarkan parti.
Sebaliknya mereka hadir atas rasa kasih dan memberi sokongan moral kepada Najib yang sedang berusaha mendapatkan keadilan buatnya.
"Jadi bila kami berada di sini, bukan bermakna ingkar arahan parti, tapi sebagai sokongan kepada Najib untuk mendapatkan keadilan," katanya.
Ahli Umno dari Jerantut yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah pula menjelaskan kehadirannya bersama rombongan adalah atas rasa kasih kepada bekas presiden Umno.
"Kami hadir atas rasa kasih kepada Najib yang telah banyak berjasa, kami hadir atas kapasiti peribadi.
Anak Zahid juga kelihatan di Istana Kehakiman
8.50 pagi: Anak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah dilaporkan berada di Istana Kehakiman awal hari ini.
Menurut akhbar The Star polis bagaimanapun tidak membenarkan Nurulhidayah masuk.
Dia memberitahu akhbar itu bahawa dia berada di sana atas kapasiti peribadinya sendiri dan bahawa dia "kebetulan" di sana.
"Saya ada urusan lain di sini hari ini," katanya dipetik sebelum beredar.
Zahid sebelum ini memberi amaran bahawa ahli Umno yang menghadiri perhimpunan solidariti buat Najib hari ini berbuat demikian atas risiko mereka sendiri.
Konvoi Jabatan Penjara tiba di Putrajaya
8.30 pagi: Konvoi kenderaan Jabatan Penjara yang diiringi kenderaan polis mula memasuki kompleks mahkamah melalui pintu belakang.
Konvoi itu dipercayai membawa bekas perdana menteri Najib dari Penjara Kajang ke mahkamah. Bagaiamanapun Malaysiakini tidak dapat mengesahkannya.
Sementara itu, jumlah penyokong Najib yang hadir menunjukkan solidariti mereka dianggarkan kira-kira 100 orang dan jumlah semakin meningkat.
Penyokong yang berada di luar Istana Kehakiman turut melaungkan'Hidup Bosku'.
Bas dihalang memasuki kawasan Istana Kehakiman
8.25 pagi: Beberapa buah bas yang membawa penyokong Najib dihalang daripada memasuki kawasan Istana Kehakiman Putrajaya.
Perkara itu turut disahkan oleh pihak berkuasa yang bertugas.
Difahamkan bas berkenaan terpaksa di pakir jauh dari kawasan Istana Kehakiman dan penyokong terpaksa berjalan kaki.
Sementara itu, menurut portal berita SuaraTV, sekurang-kurangnya tiga bas yang membawa penyokong Najib dari Langkawi dan Pekan tidak melepasi sekatan jalan raya polis dan dihalang daripada memasuki Putrajaya.
Gambar yang disiarkan portal itu di Facebook menunjukkan kira-kira 60 penyokong berdiri di hadapan bas di perhentian rehat.
Polis larang Nik Abduh masuk ke Istana Kehakiman
8.15 pagi: Pemimpin PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz cuba memasuki kompleks mahkamah tetapi tidak dibenarkan melalui pintu masuk seorang anggota polis, yang kelihatan memegang senarai nama.
Senator PAS itu enggan mengulas sama ada dia hadir untuk memberi sokongan kepada Najib atau sebaliknya ketika ditanya oleh wartawan.
Dia juga berkata dia tidak tahu jika ada pemimpin PAS lain yang akan hadir.
Sekatan jalan raya di pintu belakang
8.10 pagi: Anggota polis dan pasukan keselamatan mahkamah melakukan sekatan jalan raya di pintu masuk belakang kompleks mahkamah ketika penyokong Najib mula berkumpul di seberang jalan.
Mereka dikatakan mahu merakamkan kelibat bekas perdana menteri itu, yang dipercayai akan dibawa masuk ke mahkamah melalui pintu masuk belakang.
Tinjauan mendapati jalan masuk ke Istana Kehakiman dikawal dan hanya kakitangan dibenarkan masuk selepas menjalani pemeriksaan oleh pegawai keselamatan bertugas.
Penyokong Najib, ahli PAS mula tiba
8.01 pagi: Penyokong Najib Razak dan kumpulan yang dipercayai ahli PAS kelihatan melepak berhampiran kompleks mahkamah.
Terdahulu, sebuah van menurunkan kira-kira 10 wanita berusia 40-an dan 50-an di hadapan Istana Kehakiman. Mereka mendakwa sebagai penyokong Najib dari Pahang.
Unit dron polis dilihat sedang memantau kawasan tersebut.
Di luar kawasan Istana Kehakiman dilihat ramai anggota polis bersiap sedia bagi mengawal keadaan.
Semalam media melaporkan polis memberi amaran orang ramai supaya tidak hadir ke himpunan itu kerana ia tidak mendapat kebenaran.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata perhimpunan tersebut tidak mendapat kebenaran pemilik tanah sekali gus tidak mematuhi syarat-syarat seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
Sehubungan itu katanya, polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu menyertai perhimpunan tersebut kerana ia melanggar undang-undang sedia ada.
PAS berdemo demi Najib tanpa Umno
8 pagi: Perhimpunan hari ini sepatutnya melibatkan Umno dan PAS.
Namun, Umno memutuskan untuk tidak meneruskan perhimpunan itu selepas kenyataan Istana Negara mengenai proses Lembaga Pengampunan pada Jumaat lalu.
Polis telah digerakkan untuk menghalang perhimpunan PAS, dengan mendirikan sekatan jalan di sekitar Putrajaya bagi mengawal laluan masuk ke sana.
Titah adendum tahanan rumah Najib
7.50 pagi: Dokumen tambahan titah adendum menjadi fokus perbicaraan mahkamah hari ini didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, sebelum ini.
Setakat ini, kerajaan enggan mengesahkan sama ada dokumen tambahan itu wujud atau tidak.
Ini walaupun anak Najib mendakwa telah dimaklumkan oleh Sultan Pahang bahawa dokumen itu benar-benar wujud.
Menjelang perbicaraan hari ini, Istana Negara telah menyatakan sebarang permohonan pengampunan, termasuk permohonan tahanan rumah Najib, perlu melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong sekarang, Sultan Ibrahim.