Mahkamah Rayuan hari ini akan mendengar permohonan Najib Razak untuk menguatkuasakan dokumen tambahan titah adendum yang didakwa membolehkan dia menjalani tahanan rumah.
Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan dari kamar mahkamah dan demonstrasi yang digerakkan PAS di Putrajaya.
PAS berdemo demi Najib tanpa Umno
8 pagi - Perhimpunan hari ini sepatutnya melibatkan Umno dan PAS.
Namun, Umno memutuskan untuk tidak meneruskan perhimpunan itu selepas kenyataan Istana Negara mengenai proses Lembaga Pengampunan pada Jumaat lalu.
Polis telah digerakkan untuk menghalang perhimpunan PAS, dengan mendirikan sekatan jalan di sekitar Putrajaya bagi mengawal laluan masuk ke sana.
Titah adendum tahanan rumah Najib
7.50 pagi - Dokumen tambahan titah adendum menjadi fokus perbicaraan mahkamah hari ini didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Setakat ini, kerajaan enggan mengesahkan sama ada dokumen tambahan itu wujud atau tidak.
Ini walaupun anak Najib mendakwa telah dimaklumkan oleh Sultan Pahang bahawa dokumen itu benar-benar wujud.
Menjelang perbicaraan hari ini, Istana Negara telah menyatakan sebarang permohonan pengampunan, termasuk permohonan tahanan rumah Najib, perlu melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Agong sekarang Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.