Bekas setiausaha jawatankuasa Bersih Mandeep Singh (gambar judul) membalas sindiran Nooryana Najwa anak kepada bekas perdana menteri Najib Razak atas kenyataannya mengenai sekatan jalan oleh polis.
"Ah, sekarang baru rasa ya? Ini adalah kaedah yang sama digunakan oleh bapa kamu dahulu terhadap kebanyakan protes yang kami anjurkan sebelum ini.
"Mungkin kamu lupa... kami juga ditahan pada malam sebelumnya kerana bapa kamu takut dengan rancangan protes di KL," katanya pada siri ciapan di X.
Mandeep beberapa kali ditahan polis ketika era Najib Razak menjadi perdana menteri, termasuk pada hari sebelum demonstrasi berlangsung.
Menjelang perhimpunan Bersih pada November 2016, polis menyerbu pejabat Bersih dan menahan Pengerusinya Maria Chin Abdullah dan Mandeep, lihat rakaman video:
Terdahulu Nooryana menyindir rancangan polis untuk mendirikan sekatan jalan di Putrajaya esok bagi menghalang perhimpunan solidariti untuk bekas perdana menteri itu.
Nooryana menyatakan kehairanannya atas tindakan sebegitu berlaku di bawah kerajaan hari ini.
"Ketika era 'reformasi'? Kalau pakai baju Bersih boleh lepas tak (sekatan jalan)," katanya pada Instagram Story malam tadi.
Dalam pada itu, Mandeep yang juga pegawai khas kepada Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata dia tidak setuju dengan tindakan polis mendirikan sekatan jalan di Putrajaya untuk menghalang perhimpunan.
"Saya tidak bersetuju dengan PDRM untuk mendirikan sekatan jalan di seluruh Putrajaya.
"Saya sentiasa menyokong kebebasan berhimpun, yang merupakan hak asasi setiap warganegara seperti yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Bagaimanapun, Mandeep mengkritik rancangan perhimpunan solidariti untuk Najib itu.
"Saya tidak menyokong perhimpunan esok.
“Najib mesti menjalani baki hukuman di Kajang.
"Najib tetap seorang penjenayah yang telah disabitkan," katanya lagi.