Anak kepada Najib Razak, Nooryana Najwa Najib, menyindir rancangan polis untuk mendirikan sekatan jalan di Putrajaya esok bagi menghalang perhimpunan solidariti untuk bekas perdana menteri itu.
Nooryana menyatakan kehairanannya tindakan sebegitu berlaku di bawah kerajaan hari ini.
"Ketika era 'reformasi'? Kalau pakai baju Bersih boleh lepas tak (sekatan jalan)," katanya pada Instagram Story malam ini.
Polis hari ini mengumumkan rancangan untuk mendirikan sekatan jalan bagi menghalang orang ramai daripada menyertai perhimpunan yang kini diterajui oleh PAS.
Kali terakhir polis mendirikan sekatan jalan menghalang perhimpunan pada tahun 2011 semasa demonstrasi Bersih 2, ketika Najib menjadi perdana menteri.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, antara peserta protes Bersih 2 ketika itu.
Perhimpunan yang dirancang pada Isnin di luar Istana Kehakiman bersempena pendengaran Mahkamah Rayuan terhadap permohonan Najib untuk menguatkuasakan titah adendum yang didakwa membolehkan dia menjalani baki pemenjaraannya dengan tahanan di rumah.
BACA BERKAITAN:
Zahid: Ahli Umno demo solidariti Najib tanggung risiko sendiri
Umno batal himpunan solidariti Najib
Demo pro-Najib: Sekatan polis, pemeriksaan ketat di Putrajaya
'Tak derhaka Agong' - MP PKR pertahan hak penyokong Najib berhimpun
Pada awalnya, PAS dan Umno bergabung untuk menganjurkan himpunan untuk menyokong Najib.
Namun, selepas Istana Negara pada Jumaat menegaskan sebarang permohonan pengampunan mesti melalui Lembaga Pengampunan, Umno memutuskan untuk tidak meneruskan perhimpunan itu.
Pun begitu, PAS menegaskan akan tetap turun berhimpun demi menyokong Najib esok, dengan beberapa pemimpin Umno dijangka hadir.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli parti yang menyertai perhimpunan itu menanggung risiko sendiri.
Selepas laporan mengenai kenyataan Zahid terbit hari ini, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang merancang untuk menyertai perhimpunan PAS atas kapasiti peribadinya, memuat naik gambar dia sedang berjoging petang ini di hadapan Istana Kehakiman.