Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Benarkan Anwar berkhidmat hingga habis penggal - Abang Johari
Diterbitkan:  Jan 5, 2025 4:07 PM
Dikemaskini: 8:45 AM
1

Premier Sarawak Abang Johari Openg sekali lagi menyeru agar Anwar Ibrahim diberikan peluang untuk menghabiskan tempoh lima tahun sebagai perdana menteri.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata terdapat pihak tertentu yang sibuk bercakap di media mengenai usaha menggantikan Anwar.

"Mengapa (adakah) perlu menggantikannya (Anwar) sedangkan tempohnya belum tamat lagi?" katanya dipetik sebagai berkata oleh NST hari ini.

“Jika orang tidak berpuas hati dengan kita (kerajaan perpaduan), maka (mereka harus) menunggu pilihan raya umum.

“Tetapi pada masa ini, jangan (paksa tukar),” tambahnya.

Dia berkata demikian ketika mengulas usaha sesetengah pihak untuk menggantikan Anwar sebagai perdana menteri.

Premier Sarawak itu bagaimanapun tidak menamakan sesiapa.

Bulan lalu, Ketua Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria (gambar bawah) mendedahkan parti itu masih bercita-cita untuk membentuk kerajaan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Terdapat spekulasi PAS menggunakan perhimpunan solidariti untuk bekas perdana menteri Najib Razak yang dipenjara sebagai usaha menarik sokongan Umno.

Bagaimanapun Umno mengumumkan tidak akan menghadiri perhimpunan berkenaan.

Ini selepas Istana Negara meminta semua pihak menghormati perlembagaan dan undang-undang berhubung sebarang permohonan banduan untuk mendapatkan pengampunan atau meringankan hukuman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS