Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari kesal dengan tindakan Pemuda Amanah ingin membuat laporan polis terhadapnya berhubung satu hantaran di media sosial yang didakwa menghina institusi raja.
Dalam satu hantaran di Facebook, Ahmad Fadhli secara berseloroh berkata Pemuda Amanah juga menggunakan gambarnya yang kurang kacak dalam poster untuk memaklumkan mengenai laporan polis berkenaan.
"Sepatutnya jika mahu diletakkan gambar saya, pilihlah gambar yang sesuai dan dalam keadaan bersedia untuk difoto serta bukan reaksi wajah seperti itu.
BACA BERKAITAN:
Hantaran Fadhli bahaya, bernada menghina - Pemuda Amanah
BN hargai jasa Najib, teguh bersama Zahid
Zahid: Ahli Umno demo solidariti Najib tanggung risiko sendiri
'Tak derhaka Agong' - MP PKR pertahan hak penyokong Najib berhimpun
"Langkah itu kurang profesional dan menjadikan reaksi wajah saya agak 'kurang hensem' walaupun saya sedar gambar lain pun bukanlah 'hensem sangat', tetapi paling tidak gambar yang profesional. Itulah kekesalan paling utama," katanya berseloroh.
Kekesalan kedua, kata Ahmad Fadhli ialah cubaan mengaitkan nama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam isu berkenaan.
"Padahal secara jelas tidak ada mana-mana bahagian di dalam titah baginda yang melarang himpunan 6 Januari," katanya.
Umno dan PAS sebelum ini bersetuju mengadakan perhimpunan solidariti untuk Najib Razak, yang akan menghadiri perbicaraan di mahkamah rayuan Putrajaya berhubung isu titah adendum pada Isnin ini.
Bagaimanapun Umno mengumumkan tidak akan menghadiri perhimpunan itu selepas Istana Negara meminta semua pihak menghormati perlembagaan dan undang-undang berhubung sebarang permohonan banduan untuk mendapatkan pengampunan atau meringankan hukuman.
Pun begitu, Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh mengumumkan akan hadir pada perhimpunan itu atas kapasiti peribadi.
Semalam Ahmad Fadhli dalam hantaran di media sosialnya berkongsi kiasan berbunyi: "Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban".
Susulan itu, Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Hasbie Muda mengarahkan ahlinya di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Ahmad Fadhli atas dakwaan menghina institusi diraja.
Mengulas lanjut, Fadhli berkata pihak yang sangat bimbang dan membidas Umno ekoran penyertaan bersama PAS sebelum ini ialah Lim Guan Eng.
"Walaupun pimpinan Umno membalas kenyataan Lim Guan Eng ini tetapi akhirnya apa yang didesak oleh Lim Guan Eng dilaksanakan oleh Umno dengan kononnya berpandukan titah Agong yang mereka sendiri pilih untuk memahami bukan dengan maksud yang sebenar.
"Sedangkan titah adendum yang terang jelas itu mereka memilih untuk tidak perjuangkan. Inilah pelik dan ajaibnya Umno.
"Nasib baiklah Pemuda Umno mengisytihar bahawa mereka akan hadir dan ini membuktikan mereka juga memahami kehadiran di himpunan itu bukanlah bererti derhaka kepada Agong.
“Persoalannya, kenapakah pemahaman Pemuda Umno berbeza dengan pemahaman Presiden dan Setiausaha Agung Umno?".
“Jadi jelas YDPA tiada kaitan dengan hantaran saya itu,” katanya.
Pertimbang tindakan terhadap Pemuda Amanah
Dalam pada itu Ahmad Fadhli berkata ada beberapa peguam mencadangkan agar dia menyaman Pemuda Amanah atas dakwaan dia menghina institusi diraja sedangkan sedangkan tiada mana-mana bahagian dalam hantaran itu yang boleh dianggap demikian.
"Saya katakan, melainkan dengan pihak-pihak tertentu, saya beranggapan - sehingga sekarang - kawan-kawan dalam dunia politik ini tidaklah perlu sampai ke mahkamah.
“Tambahan pula, mereka di dalam Amanah juga sahabat-sahabat saya di dalam PAS dulu. Bagaimanapun, saya juga perlu mempertimbangkan tindakan seterusnya berdasarkan perkembangan-perkembangan yang akan berlaku," katanya .
Jelasnya lagi, laporan polis ini juga membuktikan Pemuda Amanah "masih lagi ada, dan setidak-tidaknya ada aktiviti yang boleh dilaporkan di dalam buku mesyuarat tahunan”.
"Lagipun, jika tidak pertahankan DAP, apa lagi yang boleh mereka lakukan?"sindirnya.