Ahli politik veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa parti itu agar terus bersatu dan berusaha ke arah mencapai Impian Malaysia.
Dalam ucapannya di sebuah acara di Pulau Pinang semalam, Lim menegaskan DAP tidak boleh menyimpang daripada misinya untuk mewujudkan sebuah negara yang lebih adil, saksama, makmur, dan bersatu padu.
"Perubahan tidak boleh dicapai dalam sekelip mata. Kita mesti memiliki pandangan jangka panjang untuk perubahan dan reformasi kerana kita mengamalkan sistem kerajaan demokrasi serta perlu memenangi hati rakyat.
"DAP mesti kekal bersatu dalam kepimpinan dan akar umbi, serta tidak boleh meninggalkan Impian Malaysia untuk sebuah negara yang lebih baik, bersatu dan majmuk," katanya.
Menurut laman web DAP, Lim menggambarkan Impian Malaysia sebagai visi sebuah masyarakat majmuk di mana semua warganegara, tanpa mengira perbezaan etnik, agama, budaya, atau bahasa, bersatu sebagai satu bangsa.
Belajar daripada pengalaman hidup
Lim turut mengaitkan kejayaan kempen "Selamatkan Bukit China" dengan perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
“Seperti mana tiada siapa menyangka kempen ‘Selamatkan Bukit China’ akan berjaya, tiada siapa juga menjangkakan perubahan kerajaan pada PRU-14 tahun 2018.
“Tetapi kita mesti belajar daripada pengalaman hidup,” katanya.
Kempen "Selamatkan Bukit China" berlaku lebih 40 tahun lalu apabila kerajaan negeri Melaka cuba mengutip tunggakan cukai tanah dan merobohkan kawasan perkuburan bukit tersebut.
Bukit China ialah kawasan perkuburan Cina terbesar di luar China, dengan lebih 12,000 kubur, termasuk dari zaman Dinasti Ming.
‘Saya dilahirkan di Malaysia, bukan di China atau Kemboja’
Lim turut menjawab tuduhan bahawa dia dilahirkan di Funan, China, dan datang ke Tanah Melayu bersama bapanya pada tahun 1957.
“Saya tidak dilahirkan di China atau Kemboja. Saya dilahirkan di Batu Pahat, Malaysia.
“Saya bersekolah di SJKC Cheng Siew pada tahun 1947-48 dan kemudian di Batu Pahat English School pada tahun 1949 untuk mendapat pendidikan rendah dan menengah saya. Rekod sekolah semuanya ada,” jelasnya.
Ini bukan kali pertama veteran DAP itu menjawab dakwaan serupa.
Pada tahun 2023, dia mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu selepas video mengenainya tular di media sosial.