Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Himpunan Najib: PAS patut puji Umno, bukan ejek, kata Adun PKR
Diterbitkan:  Jan 5, 2025 10:56 AM
Dikemaskini: 3:04 AM

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fahmi Zainol berkata PAS sepatutnya menghormati keputusan Umno membatalkan perhimpunan solidariti untuk Najib Razak yang pada awalnya dijadualkan pada 6 Januari ini, dan bukan mengeluarkan sindiran bersifat dangkal.

Adun Pantai Jerejak itu menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang dimuat naik di media sosial semalam sebagai tidak cermat dan seolah-olah memperolok titah Yang di-Pertuan Agong dan arahan Ketua Polis Negara.

"Parti PAS yang sekian lama unggul dalam menunggang isu-isu agama kini tampil juara dalam menunggang isu Datuk Seri Mohd Najib pula.

“Tidak hairanlah jika saban hari mereka terus merendah dan meremehkan institusi beraja di Malaysia seperti isu pengampunan yang kini sedang hangat diperkatakan.

"Fadhli Shaari sepatutnya menyokong dan memuji sifat rendah diri dan hormat Umno terhadap titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta dalam mematuhi arahan Ketua Polis Negara,” katanya.

Menurut Fahmi, PAS perlu menggunakan pendekatan yang matang demi menjaga keharmonian serta ketenteraman awam, selain menunjukkan suri teladan yang baik kepada ahli-ahlinua.

“Yang pasti, rakyat semakin bijak menilai dan melihat sendiri apakah kebolehan parti PAS yang sebenar, melalui respons ejekan yang sangat kebudak-budakan oleh Fadhli Shaari,” katanya.

Semalam Ahmad Fadhli, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, memuat naik satu hantaran berbaur sindiran di media sosial susulan keputusan Umno membatalkan perhimpunan tersebut.

“Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban,” tulis Fadhli di Facebook.

Hantaran tersebut mengundang kritikan terutama daripada Umno dan parti-parti dalam PH.

Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda, turut mengarahkan ahli parti itu untuk membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

‘Kenapa Akmal tak kecam PAS dengan tegas?’

Dalam kenyataan berasingan, setiausaha publisiti pemuda DAP Ho Chi Yang turut mengkritik Ahmad Fadhli kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kekeliruan dan mencetuskan polemik politik.

Dia berkata kenyataan berunsur kiasan yang dimuat naik Ahmad Fadhli menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan orang ramai terutama selepas Istana Negara menjelaskan kuasa prerogatif Agong.

"Tindakan PAS ini bukan sahaja biadab, malah tidak bertanggungjawab dan mencetuskan kontroversi yang mungkin mencemarkan institusi negara," katanya.

Pada masa sama, Adun Tanah Rata itu turut mempersoalkan mengapa Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh tidak mengecam tindakan PAS secara tegas, seperti tindakannya mengkritik pemimpin Kerajaan Perpaduan secara terburu-buru sebelum ini.

“Ketika PAS melampaui batas dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab, mengapa Akmal Saleh tidak mengecam PAS secara tegas?

“Adakah Akmal hanya berani mengkritik pemimpin Kerajaan Perpaduan tetapi lebih berminat untuk mengekalkan hubungan erat dengan PAS?” soal Ho.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS