Sekumpulan pelarian Palestin mengadakan protes di Wisma Transit di Kuala Lumpur, dipercayai berpunca daripada keinginan mereka untuk mempercepatkan pemprosesan permohonan bagi kembali ke Mesir.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 5 petang Sabtu (4 Jan).
"Akibat daripada insiden tersebut, pegawai dan anggota ATM yang bertugas telah bertindak untuk berbincang bersama dengan warga Palestin yang terlibat. Situasi berkenaan dapat dikawal dengan baik tanpa melibatkan sebarang pergaduhan dan kecederaan, hanya berlaku sedikit kerosakan terhadap peralatan perabot di WTKL,” kata kenyataan itu.
ATM berkata warga Palestin terbabit bersurai kira-kira jam 7.30 petang hari yang sama.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan insiden tersebut," jelasnya.
Terdahulu, tular beberapa video menunjukkan kekecohan membabitkan sekumpulan lelaki, wanita dan kanak-kanak warga Palestin di Wisma Transit.
Dalam satu rakaman video, seorang wanita dilihat memegang sepanduk bertulis dalam bahasa Inggeris: "Tidak perlu dihantar pulang, kami perlu kembali ke Mesir," manakala dua anggota beruniform dilihat berdiri berhampiran pasu bunga yang dipecahkan.
Video kedua menunjukkan kumpulan warga Palestin berkenaan berada di pekarangan bangunan dan membakar sesuatu di atas jalan tar.
Pada Oktober tahun lalu, kejadian serupa dilaporkan berlaku di bangunan sama membabitkan dua wanita Palestin kerana tidak berpuas hati apabila mereka dilarang meninggalkan bangunan itu atas faktor keselamatan.
Salah seorang wanita itu bagaimanapun memohon maaf dengan mengatakan dia bersedih atas kehilangan tiga anaknya dan tertekan kerana gagal menghubungi anak-anaknya yang lain yang masih berada di Gaza.
Pada 16 Ogos tahun lalu, dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel tiba di Pangkalan Udara Subang, Selangor. Kedua-dua pesawat itu berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza di Kaherah, Mesir dengan membawa 41 pesakit dan 86 ahli keluarga mereka.
Ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Malaysia untuk membantu rakyat Palestin yang menderita akibat pencerobohan Israel.
Duta kesal
Sementara itu, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, melahirkan rasa kesal dengan insiden yang berlaku di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) baru-baru ini, sambil menegaskan tindakan sedemikian tidak mencerminkan budaya dan etika rakyat Palestin.
Dia memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia dan kedutaan komited sepenuhnya untuk menangani isu itu serta menawarkan sokongan kepada mereka yang terjejas.
“Isu ini sedang dibincangkan dengan pihak berkuasa Malaysia. Saya benar-benar sedih dengan apa yang berlaku.
“Ini bukan etika kami dan bertentangan dengan budaya kami. Kerajaan Malaysia dan kedutaan Palestin sedang melakukan yang terbaik untuk membantu,” katanya.