Pasukan peguam bela bekas perdana menteri Najib Razak tidak menerima sebarang arahan untuk memfailkan permohonan pengampunan baru.
Bercakap kepada pemberita hari ini, peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata mereka akan meneruskan kes Najib di mahkamah berhubung dakwaan titah adendum terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.
Menurut Shafee, memfailkan permohonan baru dengan Lembaga Pengampunan juga boleh menjejaskan kes mahkamah semasa Najib.
“Pada masa ini kami tiada arahan (untuk memfailkan permohonan baru).
“Tetapi saya boleh beritahu anda, kerana kami sedang meneruskan titah adendum, yang merupakan subjek permohonan pengampunan, (iaitu) berkait kepada permohonan semasa, kami tidak boleh membuat permohonan pengampunan yang lain.
"(Sebab) kemudian kami akan dituduh melakukan prosiding berganda. Itu akan membahayakan permohonan kami sekarang," katanya ketika ditemui selepas forum yang diadakan di sebuah pusat konvensyen di Kuala Lumpur petang ini.
Shafee ditanya sama ada dia akan mempertimbangkan untuk memfailkan satu lagi permohonan pengampunan diraja berikutan titah terbaru Yang di-Pertuan Agong semalam.
Istana Negara dalam satu kenyataan semalam berkata sesiapa yang ingin mendapatkan pengampunan bagi banduan mesti mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Najib mesti memfailkan permohonan baru kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Untuk rekod, Najib sedang mendapatkan perintah kebenaran daripada mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman berhubung dakwaan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Kes itu kini di peringkat Mahkamah Rayuan, dan dijadualkan untuk keputusan Isnin ini.
Tambah Shafee, mereka akan menyelesaikan proses rayuan semasa terlebih dahulu sebelum dia "mengambil pandangan lain".
"Jika rayuan (di Mahkamah Rayuan) ditolak, maka kami akan merayu kepada Mahkamah Persekutuan," kata Shafee.