Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin membidas pihak yang berhasrat meneruskan perhimpunan solidariti buat bekas perdana menteri Najib Razak pada hari Isnin, meski selepas titah daripada Istana Negara dan gesaan untuk tidak berhimpun oleh polis.
Dia berkata kumpulan seperti itu hanya mengambil kesempatan daripada proses pengampunan Najib sebagai modal politik dan mendapati "bersolidariti secara bermusim" itu amat memualkan.
"Apalagi setelah mengenang segala nista yang pernah mereka lemparkan terhadap mantan presiden Umno tersebut.
"Proses pengampunan Najib bukan modal politik untuk mana-mana pihak. Menjadikan ia taruhan untuk populariti adalah sangat tidak bermoral.
"Kerana itu, Umno akur dengan hikmah diraja dan senantiasa akan bertindak secara berpelembagaan.
"Mereka yang menegaskan himpunan 6 Januari ini sah dan akan meneruskannya, membelakangi nasihat pihak berkuasa, adalah pemain ‘politik tanpa moraliti’," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perhimpunan yang asalnya dianjurkan oleh Umno itu direncana diadakan sempena perbicaraan mahkamah berhubung usaha Najib untuk memaksa kerajaan mendedahkan sama ada terdapat titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, untuk Najib akan menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Najib juga memohon perintah mahkamah untuk memaksa kerajaan melaksanakan titah itu sekiranya ia wujud,
Bagaimanapun, Istana Negara di bawah Yang di-Pertuan Agong sekarang, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, mengeluarkan peringatan bahawa sesiapa yang memohon pengampunan bagi banduan hendaklah mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan, yang mesyuaratnya akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan. Agong.
Ia mengulangi kenyataan serupa oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu lalu, yang mengatakan proses pengampunan mesti mengikut prosedur yang betul untuk mengelak keputusan Agong berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan dicabar di mahkamah.
Susulan itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain menggesa orang ramai supaya tidak mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan mengenai hak prerogratif Yang di-Pertuan Agong untuk mengampunkan banduan.
Berikutan perkembangan ini, Umno telah membatalkan rancangannya untuk mengadakan perhimpunan itu.
Namun, PAS - yang sebelum ini mengumumkan penyertaannya dalam perhimpunan itu - berkata ia akan tetap berhimpun di luar Istana Kehakiman seperti yang dirancang.
NGO Perkasa dan Gerakan Pembela Ummah juga berhasrat untuk menyertai perhimpunan itu serta mengkritik Umno kerana membatalkan hasrat berhimpun.
Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh juga mengumumkan akan hadir atas kapasiti peribadi.
Sementara itu, walaupun perhimpunan itu dibatalkan, Khaled berkata komitmen parti untuk memastikan keadilan untuk Najib kekal dan tidak berbelah bahagi.
Bagaimanapun, dia berkata ia mesti dilakukan mengikut batas undang-undang.
“Apa jua kekurangan dan kelemahan, justeru jika ada kesalahan sekalipun, tidak akan dapat mengatasi lautan darmabaktinya pada tanah air dan bangsa.
"Dan Umno tidak akan meminggirkan mereka yang bersetia dengannya. Apalagi pada seorang bekas presidennya,” tambahnya.