MIC tidak akan menyertai perhimpunan pada 6 Jan di luar Istana Kehakiman untuk menyokong bekas perdana menteri Najib Razak.
Sebaliknya, ia akan mengadakan upacara berdoa khas untuk Najib di Kuil Murugan Batu Caves pada 11 pagi, 6 Jan.
"Kami juga mengalu-alukan masyarakat India untuk menyertai kami untuk upacara ini, untuk bersama-sama berdoa dan berharap Najib mendapat keadilan," kata Timbalan Presiden MIC M Saravanan dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan bahawa partinya telah membatalkan perhimpunan yang dijadualkan pada 6 Jan untuk Najib, yang akan menghadiri perbicaraan mahkamah berhubung dakwaan titah adendum yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Asyraf berkata keputusan itu dibuat susulan titah Istana Negara mengenai prerogatif pengampunan raja dan gesaan ketua polis negara supaya tidak menghadiri perhimpunan yang menyentuh isu itu.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata perhimpunan solidariti itu tidak bercanggah dengan titah Agong, sambil menambah perhimpunan seperti itu adalah hak demokrasi dan mesti dilihat sebagai berasingan daripada proses formal yang telah ditekankan oleh istana sebelum ini.
“Memandangkan Najib berusaha untuk menangani kebimbangan etika yang didakwa menyelubungi proses kehakiman pada hari Isnin, saya yakin bahawa haknya untuk semakan kehakiman yang adil dan saksama mesti dipertahankan.
“Keadilan mesti sentiasa dilaksanakan dengan cara yang telus dan tidak boleh dicela,” tegas bekas menteri itu.
Walaupun Umno telah membatalkan hasrat untuk berhimpun, PAS telah berikrar untuk meneruskannya bersama beberapa NGO Melayu yang lain.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Aidi Sham Mohamed mengesahkan pihaknya masih belum menerima permohonan daripada PAS untuk menganjurkan demonstrasi itu.