Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Permohonan himpunan di Istana Kehakiman tak lengkap

Polis menolak permohonan penganjuran himpunan solidariti Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan berlangsung di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed berkata pihaknya telah menerima permohonan daripada penganjur himpunan tersebut pada Selasa lepas.

"Setelah disemak, didapati permohonan itu tidak lengkap dan pihak polis telah menolak kebenaran untuk tujuan penganjuran himpunan tersebut. Pemakluman mengenai penolakan permohonan telah disampaikan kepada pihak penganjur semalam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Aidi Sham berkata seramai 456 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk membuat kawalan keselamatan di Istana Kehakiman dan kawasan sekitarnya pada hari berkenaan.

Untuk makluman, Mahkamah Rayuan telah menetapkan Isnin ini sebagai tarikh pendengaran rayuan bekas perdana menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh Najib bagi mengemukakan keterangan tambahan berhubung Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu mengenai tahanan rumah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS