Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perkasa jangka 5,000 orang berkumpul demi Najib
1

Sekurang-kurangnya 5,000 hadirin dijangka berkumpul sebagai tanda bersolidariti dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak semasa perbicaraan mahkamahnya pada 6 Jan nanti.

Presiden Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata mereka yang hadir berminat untuk menyaksikan detik bersejarah itu.

“(Kami percaya) semua NGO Melayu akan menunjukkan sokongan mereka.

“Kira-kira 5,000 (ahli) NGO dan individu dijangka hadir pada Isnin ini,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Perhimpunan menyokong Najib itu diadakan bertepatan pada hari pendengaran Mahkamah Rayuan susulan permohonan Najib untuk menyemak ketetapan dibuat mahkamah tinggi mengenai titah tambahan dibuat Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Agong ke-16.

Najib yang juga bekas pemimpin Umno kini dipenjara selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah.

Mengulas mengenai aspek keselamatan ekoran rancangan tersebut mahu diteruskan di sebalik nasihat dikeluarkan polis, Syed Hassan berkata, ia tidak menjadi masalah kerana ia hanya melibatkan antara 5,000 hingga 6,000 peserta.

"Tak ada apa-apa yang akan cedera pun," katanya.

Dia juga menjelaskan peserta himpunan berkenaan sekadar melibatkan penyokong Najib dan mereka mahu melihat suasana mahkamah menyampaikan keputusan berhubung rayuan dibuat bekas perdana menteri berkenaan.

Syed Hussin juga berpendapat keadaan boleh lebih terkawal jika Istana Negara mengeluarkan kenyataan lebih awal berbanding semalam.

"Kalau istana keluarkan kenyataan dari awal dulu, tak ada kisah pun sampai sekarang... tak ada huru-hara macam ni," katanya.

Pun begitu Syed Hussin segera menjelaskan dia tidak berniat menyalahkan pihak istana.

"Saya nak salahkan pegawai-pegawai istana kerana tak menasihatkan Tuanku (Agong) dengan betul," dakwanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS