Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Titah adendum: Rakyat berhak tahu kedudukan sebenar, kata Hamzah
Diterbitkan:  Jan 4, 2025 1:30 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Ketua Pembangkang menegaskan suara rakyat yang ingin tahu akan kewujudan dan kedudukan titah tambahan (adendum) terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak adalah dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Justeru Hamzah Zainudin berkata, ia tidak boleh dihalang oleh mana-mana pihak.

“Rakyat pada hari ini berhak mengetahui hakikat sebenar akan kewujudan satu titah adendum yang menjadi isu berkepentingan awam dan mempersoalkan mengapakah ia tidak dilaksanakan sekiranya telah dizahirkan Yang di-Pertuan Agong sejak setahun yang lalu.

“Hal ini amat penting kerana apa-apa perlakuan ingkar, menyembunyikan atau menafikan mana-mana titah yang dizahirkan institusi Yang di-Pertuan Agong, termasuklah titah adendum tersebut, merupakan penderhakaan besar kepada raja dan negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kewujudan titah tambahan terkait Najib dibuat Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Agong ke-16.

Mahkamah Rayuan dijadual mendengar permohonan Najib untuk menyemak ketetapan dibuat mahkamah tinggi mengenai titah tambahan berkenaan pada 6 Jan nanti.

Semalam Istana Negara mengeluarkan kenyataan meminta agar semua pihak menghormati perlembagaan negara dan undang-undang yang ditetapkan.

Kata Istana Negara, Agong ke-17, Sultan Ibrahim, bertitah agar seseorang banduan yang ingin mendapatkan pengampunan atau keringanan hukuman mesti mengemukakan sendiri permohonan tersebut.

Ia kemudian akan diputuskan oleh Agong berdasarkan kepada nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan sendiri oleh baginda.

Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, menjadi salah satu kewajipan bagi semua rakyat Malaysia untuk menjunjung tinggi serta memartabatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan institusi beraja sebagai lambang kedaulatan negara seperti yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan.

“Kerajaan atau mana-mana pihak tertentu mempunyai obligasi untuk menyempurnakan titah yang dibuat Agong dengan teratur mengikut lunas perundangan negara.

“Termasuk apa juga titah tambahan (adendum) dalam hal pengampunan diraja yang dibuat oleh mana-mana Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Untuk rekod sebelum ini Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memberitahu pihak yang mempertikaikan pendirian kerajaan dalam isu tersebut sebagai dangkal ilmu.

Katanya ada pihak yang mahu menjadi jaguh sekali gus mengaut sokongan politik murahan dengan memainkan isu adendum berkenaan dari semasa ke semasa.

Menurut Anwar, kedudukannya sebagai perdana menteri tidak membolehkan dia mengulas perkara tersebut selagi tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS