Hantaran berbaur sindiran oleh Ahmad Fadhli Shaari semalam dilihat sebagai langkah Ketua Penerangan PAS Pusat itu mencipta isu dengan berselindung di sebalik kenyataan sindiran.
Pada masa sama, kata Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Hazmi Hassan, Ahmad Fadhli menghantar isyarat berbaur hinaan, bahaya dan mencetuskan perdebatan.
Mengulas hantaran Ahli Parlimen Pasir Mas itu semalam, Hazmi berkata, kenyataan berkenaan memang ditujukan kepada pihak tertentu namun diolah agar ia tidak ketara sangat.
“Hubungan kenyataan tersebut - jika dirujuk situasi semasa, terutamanya berkaitan kenyataan Istana Negara mengenai isu titah tambahan (adendum) - ia boleh ditafsir sebagai sindiran terhadap istana.
“Jika benar, Ahmad Fadhli bukan sahaja tidak menghormati institusi diraja tetapi jelas bertentangan dengan semangat menjunjung perlembagaan yang menjadi asas kestabilan negara,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Terdahulu Ahmad Fadhli dalam hantaran di media sosialnya berkongsi ungkapan "Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban" lewat semalam.
Walaupun tidak jelas maksud di sebalik ungkapan itu, namun ia dimuat naik selepas Umno mengumumkan mereka membatalkan rancangan mengadakan himpunan solidariti untuk Najib Razak pada 6 Jan ini.
Sikap sangat mengecewakan
Ia menyusul beberapa jam selepas Istana Negara meminta semua pihak agar menghormati perlembagaan dan undang-undang berhubung sebarang permohonan banduan mendapatkan pengampunan atau keringanan hukuman.
Sebelum ini beberapa pihak mendakwa wujud titah tambahan daripada Agong ke-16 agar Najib dibenarkan menjalani tahanan rumah bagi menghabiskan baki hukuman penjaranya.
Pembangkang juga mendakwa kerajaan berdolak-dalik berhubung keberadaan titah tambahan berkenaan.
Semalam Istana Negara memberitahu, seseorang banduan yang ingin memohon pengampunan atau keringanan hukuman mesti mengemukakannya kepada Agong.
Baginda kemudian akan meneliti permohonan tersebut sebelum membuat keputusan berdasarkan pandangan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Hazmi berkata kebijaksanaan dan keikhlasan seseorang pemimpin sepatutnya boleh dinilai berdasarkan kejelasan mereka berkata-kata dan bertanggungjawab.
Sebaliknya, kata Hazmi, integriti dan kejujuran mereka boleh dipersoalkan jika hanya bermain dengan kata-kata yang kabur dan mengundang kekeliruan.
“Jika Ahmad Fadhli berasakan dirinya benar, mengapa perlu berselindung di sebalik perumpamaan tanpa berani menyatakan maksud secara langsung?
“Sebagai seorang ahli parlimen dan pemimpin parti yang kononnya memperjuangkan prinsip Islam, sikap beliau sangat mengecewakan.
“Islam mengajar pemimpin untuk bercakap dengan hikmah, jelas, dan bertanggungjawab, bukan bermain politik kotor yang menyerupai adu domba.
"Pemilihan kata-kata yang mengelirukan dan mungkin membawa maksud menghina jelas bertentangan dengan sifat yang diharapkan daripada seorang pemimpin yang berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Hazmi juga berkata, pendekatan diambil bekas ketua Pemuda PAS Pusat itu menyerupai kelaziman dilakukan presiden mereka, Abdul Hadi Awang, yang gemar “membinatangkan musuh politik”.
“Adakah ini akhlak yang ingin anda tunjukkan? Jika benar seorang pemimpin Islam, maka hormatilah ikrar sebagai ahli parlimen bahawa anda menghormati dan menjaga perlembagaan.
“Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menghina pemimpin tertinggi negara sama ada secara tersurat atau tersirat, atau melaga-lagakan rakyat dengan sindiran tidak bertanggungjawab.
“Berhentilah bermain politik gosip dan mengheret rakyat ke dalam naratif berbahaya.
"Tegakkan keadilan dengan kejujuran. Jika anda tidak mampu memimpin dengan bermaruah, mungkin lebih baik menyerahkan tempat anda kepada mereka yang lebih layak dan berintegriti,” kata Hazmi yang juga Ketua Pemuda Amanah Kelantan.
Dalam perkembangan sama Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh turut tertarik dengan ungkapan dibuat Ahmad Fadhli semalam.
Dalam kenyataan hari ini, Akmal berkata, dia berminat untuk mendapatkan penjelasan maksud di sebalik kiasan Ahmad Fadhli itu.
“Saya minta YB (Ahmad Fadhli) untuk beritahu secara terus apa maksud kiasan YB ya.
“Kias-kias ni bukan anak jantan YB.
“Kalau tak sanggup nak beritahu, kita jumpa 6 Jan nanti untuk kita tanya YB secara berdepan,” katanya di Facebook.