Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM cekup suspek rasuah pemeriksaan kenderaan berat
Diterbitkan:  Jan 4, 2025 12:07 PM
Dikemaskini: 4:07 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes rasuah berkaitan pemeriksaan kenderaan berat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), di Putrajaya pagi ini.

Menurut SPRM, lelaki terbabit direman hingga Jumaat ini selepas majistret Joanne Tan Xin Ying membenarkan permohonan reman yang dikemukakan SPRM di mahkamah.

Terdahulu suspek yang berumur 40-an itu tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya kira-kira jam 10 pagi dengan diiringi beberapa pegawai SPRM.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan suspek ditahan petang semalam hasil kolaborasi strategik di antara suruhanjaya itu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

SPRM berkata lelaki itu diserahkan oleh JPJ kepada SPRM petang semalam dan ditahan selepas dirakam keterangannya di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Kenyataan itu memberitahu siasatan awal mendapati suspek membuat bayaran berjumlah ratusan ringgit bagi setiap kenderaan yang diperiksa di Puspakom sebagai balasan bagi meluluskan pemeriksaan berkenaan.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS