Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas) "berbohong" berhubung cadangan mengimport beras putih dari Pakistan.
Kata Syed Abu Hussin dia mengadakan pertemuan dengan Bernas pada 11 Dis tahun lalu dan meminta kebenaran untuk membawa masuk 100,000 tan metrik beras putih Pakistan.
Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, pertemuan tersebut diadakan atas permintaan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
"Pada 20 Dis, tiga wakil Bernas berjumpa dengan dan memaklumkan bahawa syarikat terbabit tidak memberikan kebenaran untuk membawa masuk beras putih Pakistan ke Malaysia.
"Persoalan pertama saya, kenapa pihak Bernas berbohong mengatakan tiada perbincangan diadakan dengan pihak saya?
"Kenapa Bernas tidak menceritakan perkara yang sebenar?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Bernas mendakwa tiada sebarang perbincangan berlangsung di antara mereka dengan Syed Abu Hussin mengenai cadangan berkenaan.
Kata syarikat itu Pakistan adalah satu daripada beberapa negara utama yang menjadi pembekal beras import kepada mereka sejak sekian lama. Negara lain ialah Thailand, Vietnam dan India.
Mengapa masih tak tahu
Namun, kata Bernas, mereka bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memperkasa agenda keterjaminan makanan negara.
"Bernas menggalakkan agar kenyataan media yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkaitan isu import beras hendaklah disokong dengan fakta dan perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Bernas, untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta impak kepada kestabilan pasaran beras negara," katanya.
Dalam kenyataan sama, Bernas juga menegaskan Malaysia tidak mengalami sebarang krisis bekalan beras, dengan beras putih import (BPI) sentiasa mencukupi bagi keperluan negara.
Dalam kenyataan hari ini Syed Abu Hussin mencabar agar Bernas menjelaskan mengapa syarikat terbabit menolak pembelian beras putih Pakistan apabila harganya jauh lebih rendah berbanding negara lain.
"Dalam perjumpaan, saya telah memaklumkan kepada mereka bahawa pengeksport beras Pakistan telah menurunkan harga jualan kepada RM20 sekampit.
"Sekiranya Bernas tidak membenarkan beras putih Pakistan tersebut dibawa masuk ke Malaysia, maka Bernas mestilah menurunkan harga BPI yang dikini dijual RM28 sekampit di pintu kilang.
"Kenapa pihak Kawalselia Padi & Beras Negara masih membenarkan manipulasi harga beras ini berlanjutan sehingga membebankan rakyat yang dipaksa membayar harga beras import lebih mahal yang dikenakan oleh Bernas?" katanya.
Tambah Syed Abu Hussin, beras putih Pakistan yang lebih murah perlu diimport untuk menampung kehilangan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.
"Mengapa pihak Kawalselia Padi & Beras Negara masih tidak tahu punca sebenar kehilangan BPT tersebut?" katanya.
Tambahnya, jawapan rasmi pihak Kawalselia Padi & Beras Negara bahawa BPT hilang dibawa arus banjir tidak dapat diterima oleh rakyat yang memang sedang susah.
Pada 3 Okt lalu Anwar sewaktu mengadakan lawatan kerja di Pakistan menjelaskan kerajaan bersedia membeli 100,000 tan metrik dari kerajaan pimpinan Shehbaz Sharif, namun kajian lanjut perlu dilakukan terutama membabitkan mekanisme harga.
Anwar dalam kenyataan sama turut memaklumkan bahawa selain beras, Malaysia juga memberi perhatian terhadap pengimportan daging.
Susulan daripada itu, pada 16 Dis lalu Syed Abu Husin mengadakan lawatan dagang ke Pakistan telah menemui lebih 28 pengeksport beras negara berkenaan.
Katanya, mereka bersedia untuk membekalkan 100,000 tan metrik tambahan dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran dunia.