Ini mungkin kumpulan wayang kulit paling unik. Bukan saja tok dalang, malah semua anggotanya perempuan.
Lebih menarik, ia disertai pelbagai bangsa dan negara.
Menamakan kumpulan mereka sebagai Wayang Women, sekumpulan wanita muda tampil memperkenalkan kesenian wayang kulit di pentas antarabangsa.
Diketuai Illya Sumanto, 35, seorang guru sebuah sekolah di Chiang Mai, Thailand, mencetuskan idea menubuhkan Wayang Women selepas menonton satu persembahan tradisional itu.
Illya mula jatuh cinta dengan seni wayang kulit setelah menyaksikan pertunjukan langsung oleh gurunya, Pak Dain, dalam satu festival di Putrajaya pada tahun 2015.
Jatuh cinta pandang pertama terhadap keunikan wayang kulit, Illya tidak menoleh ke belakang lagi sekali gus mendalami selok-belok seni persembahan yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) itu.
Berkongsi pengalamannya Illya berkata, dia mengembara dengan berulang-alik dari Chiang Mai ke Kelantan untuk berguru dengan Pak Dain apabila bercuti dari kerja hakiki.
Sebagai seorang wanita di sebalik lembaran kelir putih, pada awalnya dia berasa begitu gementar berada di sekeliling kumpulan lelaki yang bermain alat muzik.
Lebih-lebih lagi katanya, apabila dia perlu saling berinteraksi dan memberi isyarat bagi pemain-pemain peralatan muzik.
"Tangan saya terasa tidak cukup kuat, gementar dan sampai saya terlupa (memberi) isyarat muzik ketika bermain wayang kulit di sebalik kelir, terutama dengan kehadiran pemuzik lelaki.
“Saya rasa sangat tertekan dan takut pada awalnya sebelum dapat biasakan diri dan menimba ilmu mengenai seni persembahan ini," katanya mengenang kembali pengalaman tersebut.
Dia berkata demikian ketika sesi temu bual di pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya, baru-baru ini. Ia turut disertai pengurus projek, Sarah Amer.
Pengalaman itu akhirnya mendorong Illya untuk menubuhkan Wayang Women, sebuah inisiatif yang melibatkan beberapa wanita muda dari Asia Tenggara antaranya Thailand, Indonesia, Filipina, dan Myanmar.
"Menjadi satu-satunya wanita di bangsal latihan wayang kulit membuatkan saya terfikir untuk melibatkan lebih ramai wanita dalam seni ini," tambahnya.
Justeru dia cetuskan idea mengajak beberapa rakan artis yang mempunyai bakat menubuhkan Wayang Women dan kini semakin mendapat perhatian ramai termasuk di pentas antarabangsa.
Selain Illya dan Sarah, Wayang Women dianggotai Mali Ararat Tanarach dari Thailand sebagai pereka patung dan barisan pemuzik iaitu Tigra Rose (Indonesia) Victoria Yam (Filipina-Malaysia), Annabel Laura (Indonesia-Belanda), Olamide (Thailand-Nigeria), dan Lynn Nandar Htoo (Myanmar).
Kumpulan mereka turut dikuatkan dengan kru sokongan iaitu Sophie Decker dan Amanda Gayle.
Selain bertindak sebagai 'tok dalang' Illya mengambil tanggungjawab mencipta dan membina gaya serta naratif baru dalam persembahan wayang kulit selain menonjolkan peranan wanita.
"Kerjasama antara artis wanita dari Asia Tenggara ini menghasilkan tenaga yang kuat dan penuh kasih sayang, membentuk satu persaudaraan yang amat positif.
"Dalam konteks wayang kulit, ini lebih kepada instrumentalisasi di mana wanita-wanita dari seluruh Asia Tenggara bersatu, menggabungkan pelbagai instrumen yang berbeza.
"Wayang Women membuktikan bahawa artis-artis dari Asia Tenggara mampu menyesuaikan diri dan berubah mengikut keperluan dalam persembahan, bergantung pada intuisi, fleksibiliti, dan adaptabiliti dalam kolaborasi muzikal," ujarnya.
Illya merasakan pengalaman ini sangat mengujakannya, kerana ia bukan sahaja tentang seni, tetapi juga tentang persahabatan dan kerjasama antara negara-negara di rantau ini.
"Kami juga sering berkongsi dalam pelbagai sisi termasuk aktiviti silang budaya seperti memasak, dan menyanyi lagu rakyat negara masing-masing.
"Ia pengalaman yang penuh makna dan mendalam, bukan sahaja dalam seni, tetapi juga dalam hubungan kemanusiaan merentasi negara dan bangsa," katanya lagi.
Pada 2025 Illya berkata Wayang Women merancang untuk membawa pertunjukan mereka ke Thailand, dan mungkin juga ke negara-negara lain di pentas antarabangsa.
Baru-baru ini, mereka turut mempersembahkan wayang kulit di Queen Sirikit Convention Centre di Bangkok, dalam satu acara anjuran Persatuan Hak Wanita dalam Pembangunan (AWID).
Acara tersebut dihadiri oleh lebih 3,500 orang dari seluruh dunia, dan ia menjadi satu detik penting dalam memperkenalkan dan menghidupkan semula seni wayang kulit kepada khalayak antarabangsa.
Cerita hantu tetek
Ditanya mengenai kisah yang dipersembahkan oleh Wayang Women, Illya berkata pada persembahan di Bangkok itu, mereka menampilkan cerita 'Hantu Tetek'.
Katanya, kisah-kisah hantu sentiasa popular dalam masyarakat dan ia bukan sahaja di Malaysia.
Kumpulannya setakat ini membawa konsep cerita berkisarkan cerita-cerita hantu di Asia Tenggara.
"Saya menyelidik tentang (kisah) hantu-hantu Asia Tenggara dan mendapati kebanyakannya dikaitkan dengan golongan wanita. Hantu-hantu seperti langsuir, pontianak, dan hantu tetek mempunyai ciri-ciri yang serupa, yang sangat menarik.
“Meskipun kita terpisah oleh sempadan, bahasa, dan sistem yang berbeza tetapi secara asasnya hantu dalam masyarakat di Asia Tenggara memiliki banyak persamaan.
"Menariknya, misalnya hantu penanggal mempunyai versi yang berbeza di seluruh negara Asia Tenggara, tetapi semuanya berkaitan dengan perasaan cemburu dan pandangan masyarakat terhadap peranan wanita," jelasnya.