Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS tetap berhimpun tunjuk solidariti untuk Najib
Diterbitkan:  Jan 4, 2025 9:52 AM
Dikemaskini: 2:32 AM
1

PAS tetap akan meneruskan rancangan mereka berhimpun sebagai tanda solidariti buat Najib Razak di Istana Kehakiman di Putrajaya pada Isnin ini.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata mereka berhimpun semata-mmata mahu mempertahankan kuasa dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang diangap parti itu dimanipulasi.

Isu titah tambahan (adendum) itu juga, katanya, menampakkan berlaku sesuatu yang tidak telus, dan pada masa sama PAS mahu menyokong semua usaha sah Najib "mendapatkan keadilan" mengikut undang-undang.

"Dengan itu PAS tiada hasrat untuk menyemak kembali seruan yang telah dibuat berhubung kehadiran aman ahli-ahlinya pada hari, masa dan tempat yang dinyatakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menjelaskan PAS menganggap kehadiran orang ramai ke himpunan solidariti berkenaan sekali-kali tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Agong yang dikeluarkan Istana Negara semalam.

Mahkamah Rayuan dijadual mendengar permohonan Najib untuk menyemak ketetapan dibuat mahkamah tinggi mengenai titah tambahan dibuat Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Agong ke-16.

Sebelum ini Umno-BN juga menyatakan rancangan mereka untuk turun beramai-ramai sebagai menunjukkan sokongan kepada bekas pemimpin mereka yang kini dipenjara selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah.

Tak mahu belakangkan perlembagaan

Bagaimanapun semalam Istana Negara mengeluarkan kenyataan meminta agar semua pihak menghormati perlembagaan negara dan undang-undang yang ditetapkan.

Kata Istana Negara, Agong ke-17, Sultan Ibrahim, bertitah agar seseorang banduan yang ingin mendapatkan pengampunan atau keringanan hukuman mesti mengemukakan sendiri permohonan tersebut.

Ia kemudian akan diputuskan oleh Agong berdasarkan kepada nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan sendiri oleh baginda.

Beberapa jam kemudian Umno membuat ketetapan untuk membatalkan rancangan berhimpun di Istana Kehakiman pada Isnin ini.

"Umno dengan penuh kerendahan diri akur atas segala saranan titah tuanku agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap Najib, bekas perdana menteri yang banyak jasanya pada rakyat dan negara.

"Umno tidak akan sesekali membelakangi perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong," kata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Takiyuddin, PAS akur dan turut mendukung segala proses serta tatacara yang diperuntukkan undang-undang berhubung perkara tersebut.

Pada masa sama, katanya, berdasarkan kepada tema himpunan yang dirancang, PAS menganggap ia bersifat aman dan merentasi batas perkauman atau fahaman.

"Malangnya, timbul keraguan yang munasabah bahawa titah adendum ini - yang terhasil daripada kuasa prerogatif Agong - kelihatan dikhianati dan disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu yang berkuasa sehingga menafikan hak dan kelonggaran yang diberikan, lalu memaksa Datuk Seri Najib memohon kepada mahkamah melalui semakan kehakiman bagi suatu perintah agar kerajaan mengesahkan kewujudannya dan seterusnya mengambil tindakan lanjut selaras dengannya," kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS