Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS, NGO wajar batal himpunan solidariti Najib - Puad
Diterbitkan:  Jan 4, 2025 9:26 AM
Dikemaskini: 1:27 AM

Umno, kata Mohd Puad Zarkashi, sangat meyakini kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dalam menangani isu pengurangan hukuman ke atas Najib Razak.

Katanya dalam isu Najib, Umno adalah pihak yang menerima kesan secara langsung namun pada masa sama mereka tegas mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu.

Menurut anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno itu lagi, partinya menerima nasihat Yang di-Pertuan Agong Tuanku Sultan Ibrahim seperti yang dinyatakan oleh Istana Negara semalam.

"Umno yakin pada ihsan dan kebijaksanaan baginda agar Najib mendapat keadilan penuh.

"Justeru amat wajar PAS dan NGO lain membatalkan hasrat mereka (berhimpun pada Isnin ini).

"Kalau Umno sebagai pihak yang terkesan langsung dengan kes Najib (pun batalkan himpunan), maka kenapa tidak parti lain turut membuat keputusan sama?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Najib - yang kini menjalani hukuman penjara di Kajang - sedang cuba mendapatkan perkenan Istana Negara agar diizin menghabiskan hukuman tersebut di rumah.

Bekas perdana menteri itu disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC).

Najib Razak

Ekoran itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 menjatuhkan hukuman 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta kepadanya.

Dia kemudian dihantar ke Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya.

Bagaimanapun Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersetuju memberi pengurangan hukuman penjara ke atas ahli politik berkenaan menjadi enam tahun saja. Dengan keringanan tersebut Najib dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri menyatakan denda yang perlu dibayar oleh Najib ialah sebanyak RM50 juta.

Pada masa sama timbul isu titah tambahan yang didakwa dibuat Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, ketiga baginda menjadi Agong sebelum ini.

Beberapa pihak termasuk Umno dan BN dilaporkan bercadang mengadakan himpunan solidariti buat Najib di Putrajaya pada 6 Jan ini sempena rayuannya terhadap keputusan mahkamah tinggi terkait titah tambahan berkenaan.

Selain Umno, PAS juga sudah menyatakan rancangan mereka hadir bersama-sama pada hari berkenaan.

Bagaimanapun semalam Umno membatalkan rancangan berkenaan ekoran kenyataan dibuat Istana Negara berhubung permohonan mendapatkan penngampunan atau pengurangan hukuman mana-mana banduan.

Kata Istana Negara, seseorang banduan perlu mengemukakan sendiri permohonan tersebut untuk dipertimbangkan oleh Agong berdasarkan kepada nasihat lembaga pengampunan berkaitan.

Agong, menurut Istana Negara, berhak meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang dijatuhkan mahkamah bagi sesuatu kesalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS