Pemuda Amanah menyatakan rasa risau mereka terhadap laporan mengenai ketidakhadiran seramai 10,000 pelajar menduduki peperiksaan mata pelajaran Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Danial Al-Rashid Haron, berkata ia adalah isu serius kerana melibatkan masa depan pelajar terbabit.
Katanya, kerajaan tidak boleh membiarkan ribuan pelajar tercicir daripada sistem pendidikan di negara ini apabila tidak hadir pada hari peperiksaan atas sebab-sebab yang mungkin berada di luar kawalan mereka.
"Peperiksaan Bahasa Melayu merupakan subjek wajib lulus untuk mendapatkan sijil SPM, dan kegagalan dalam subjek ini akan memberi kesan besar kepada masa depan akademik dan kerjaya pelajar terbabit.
"Justeru, Pemuda Amanah menyarankan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah mengambil langkah proaktif untuk memahami punca sebenar ketidakhadiran pelajar dalam peperiksaan tersebut.
"Perhatian perlu diberikan terutama melibatkan pelajar dari golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka yang hidup dalam kemiskinan, menghadapi masalah keluarga, atau kekangan lain.
"Pemuda Amanah mencadangkan agar KPM menyediakan peluang untuk kertas ulangan khusus bagi pelajar yang menghadapi cabaran luar biasa yang menghalang mereka daripada menduduki peperiksaan Bahasa Melayu," katanya.
Sebelum ini melaporkan bahawa peratusan kehadiran pelajar yang terlibat dalam peperksaan SPM 2024 - yang berlangsung sekarang - mencecah 97 peratus setakat ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM masih dalam proses mengemas kini data tersebut memandangkan terdapat kira-kira 10,000 pelajar tingkatan lima yang belum mengesahkan kehadiran.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, pula berkata jumlah ketidakhadiran itu perlu ditangani dan diteliti supaya langkah intervensi dapat dilaksanakan.