Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Mutakhir ini perbincangan mengenai Rukun Negara yang menjadi tonggak identiti, perpaduan dan keutuhan rakyat Malaysia semakin sepi.

Setiap satu elemen dalam Rukun Negara mempunyai kekuatan dan keutuhan tersendiri untuk memastikan perpaduan rakyat Malaysia terjaga.

Prinsip "Kesopanan dan Kesusilaan" sebagai contoh, amat-amat diperlukan dalam Malaysia yang serba caca marba dan mencabar kerana fitnah yang melanda negara dampak media sosial.

Penggunaan platform media sosial untuk menyebarkan fitnah, penipuan dan adu domba mutakhir ini semakin meningkat dan menjadi-jadi. Setiap hari kita disajikan dengan berita dan laporan mengenai kes-kes penyebaran ucapan kebencian, penghinaan dan provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama di Malaysia. Hal ini perlu diberikan perhatian yang serius.

Antara cabaran semasa yang ditimbulkan oleh media sosial ialah gejala ucapan kebencian yang sering berbaur perkauman, ketegangan kaum, penipuan dan penegasan unsur-unsur subversif. Pelantar media sosial terutamanya Tik Tok dan Facebook sering menjadi latar kepada pelbagai komentar provokatif terhadap kaum, agama, atau budaya tertentu.

Di samping itu, media sosial juga sering menjadi punca kepada berita palsu dengan penyebaran berita palsu sering menyentuh sensitiviti kaum dan agama serta seringkali meruncingkan keadaan. Media sosial juga sering dipenuhi dengan sikap ketidaksopanan dan kebiadaban dalam perbincangan.

Bagaikan satu yang normal menyaksikan pengguna media sosial lazimnya menggunakan bahasa kasar, lucah dan menyerang peribadi, lantas mengabaikan nilai kesopanan.

Bermula di sekolah

Bagaimanakah prinsip "Kesopanan dan Kesusilaan" boleh dijadikan penawar dalam menangani gejala kebejatan akhlak sebegini dalam media sosial?

Pertamanya, prinsip ini perlu menjadi tonggak kepada pendidikan nilai di sekolah dan komuniti. Pendidikan yang memberikan penekanan kepada ‘adab digital’ berupaya untuk menjadikan "Kesopanan dan Kesusilaan" sebagai sebahagian daripada tajuk wajib diajarkan kepada para pelajar di sekolah seawal darjah satu lagi.

Pengajaran adab dan keselamatan digital ini tidaklah perlu sehingga diwujudkan subjek baru untuknya, memandangkan subjek yang sedia ada pun amat membebankan para pelajar. Cukup sekadar diajarkan pada setiap tahun di setiap peringkat darjah di dalam kurikulum ‘Pendidikan Sivik’ di sekolah seperti yang pernah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2019 dahulu.

Melalui pengajaran adab dan keselamatan digital murid diajar untuk berinteraksi secara berhemah dalam talian, selain dibimbing untuk tidak terjerumus dalam pelbagai gejala maksiat dan penipuan yang berlaku di alam digital dan media sosial.

Di samping itu, program kesedaran komuniti pula wajib dilaksanakan sebagai salah satu wadah pendidikan umum. Kempen kesedaran komuniti adalah penting untuk mendidik rakyat tentang kesan negatif ucapan kebencian dan pentingnya menjaga adab dalam perbincangan awam. Ia boleh dilakukan melalui pesanan atau iklan (Public Service Announcement) media arus perdana seperti radio, televisyen dan papan iklan umum, ataupun melalui penularannya di alam maya. PSA perlulah berbentuk menarik, ‘catchy’, kreatif dan bersesuaian dengan selera dan trend orang muda.

Keduanya, berteraskan prinsip ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ kerajaan perlu meningkatkan kawalan ke atas kandungan media sosial. Ini boleh dilakukan dengan kerjasama penyedia platform media sosial seperti Facebook, Twitter, dan TikTok agar mereka menguatkuasakan peraturan terhadap penyebaran ucapan kebencian dan penghinaan, ataupun melalui penguatkuasaan undang-undang.

Contoh baik dari ahli politik

Kerajaan boleh menggunakan undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk mengekang tingkah laku tidak sopan dan berunsur kebencian dalam talian. Saya lihat, perkara ini sudah pun dijalankan oleh SKMM dan pihak Kerajaan. Tahinah!

Ketiganya, para pemimpin politik perlu menunjukkan contoh kepimpinan beretika dan pengaruh positif kepada rakat sebagai penghayatan mereka terhadap prinsip ini. Para pemimpin, selebriti massa dan tokoh masyarakat mesti menjadi contoh teladan dengan menunjukkan kesopanan dalam komunikasi, terutama dalam platform digital. Di samping itu, kerajaan juga mestilah menggalakkan pemberi pengaruh media sosial untuk mempromosikanmesej keharmonian dan saling menghormati. Setiap dari pemimpin dan pemberi pengaruh ajib mempopularkan prinsip ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ dan mempromosikan ‘Penghayatan Rukun Negara’ di dalam bicara mereka.

Keempat, kerajaan juga berperanan untuk mengukuhkan dialog antara kaum melalui forum dalam talian dan luar talian. Kerajaan mestilah konsistem mengadakan forum perbincangan antara kaum secara maya dan fizikal untuk menggalakkan perbincangan sopan mengenai isu-isu sensitive melibatkan orang-orang awam, selebriti, tokoh perniagaan, anak-anak muda dan juga rakyat biasa.

Kita mahukan mereka yang ‘genuine’ dan jujur dalam menyebar luaskan prinsip ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ ini. Di samping itu, kerajaan juga mestilah mewujudkan saluran rasmi ataupun platform aduan selamat bagi rakyat melaporkan kandungan berunsur kebencian untuk tindakan susulan.


FAZLINNA ABD HAZIS merupakan seorang guru dan penulis dari Johor Bahru.

Tulisan ini merupakan pandangan penulisnya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS