Umno mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan menyatakan sokongan kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang pada mulanya direncana berlangsung pada Isnin ini.
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan itu diambil atas prinsip menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan sebagaimana gesaan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
"Umno dengan penuh kerendahan diri akur atas segala saranan Titah Tuanku agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap Najib, bekas perdana menteri yang banyak jasanya pada rakyat dan negara.
"Umno tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebagaimana Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam satu kenyataan.
Asyraf berkata Umno juga menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan Agong dalam memberikan keadilan penuh kepada Najib.
"Umno juga ingin merakamkan penghargaan tinggi kepada seluruh ahli Umno yang sudahpun menyatakan komitmen tinggi untuk memberikan sokongan moral walaupun tiada arahan rasmi daripada ibu pejabat Umno sebelum ini," katanya.
Awal hari ini, Istana Negara mengeluarkan kenyataan mengingatkan bahawa permohonan pengampunan perlulah diserah kepada Lembaga Pengampunan, yang mesyuaratnya akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ia mengulangi kenyataan serupa oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu lalu, yang memetik titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
AGC menekankan bahawa jika sesiapa, termasuk Najib, ingin mencadangkan untuk menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah, permohonan yang berkaitan perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan untuk pertimbangan mengikut undang-undang – dan bukan dengan cara lain.
Ini adalah untuk mengelakkan keputusan Agong berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan daripada dicabar di mahkamah.
Berikutan itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain hari ini menggesa orang ramai supaya tidak mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan mengenai hak perogatif Yang di-Pertuan Agong untuk mengampunkan banduan.
Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah melakukan rasuah dalam kes RM42 juta SRC International.
Susulan mesyuarat pada 29 Jan tahun lepas, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan hukumannya kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Bagaimanapun, ia disusuli dakwaan pengerusi lembaga itu pada masa itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, juga telah membuat titah adendum supaya Najib menjalani baki hukumannya di rumah.
Najib telah memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa kerajaan mendedahkan sama ada titah adendum itu wujud, dan melaksanakan perintah itu sekiranya wujud.
Perbicaraan itu dijadualkan berlangsung di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 6 Jan. Umno telah merancang untuk mengadakan perhimpunan di luar mahkamah untuk menunjukkan solidariti kepada Najib.
Beberapa pihak lain juga berjanji untuk menyertai perhimpunan itu, termasuk PAS.