Tiada unsur jenayah ditemukan dalam kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UiTM Muhammad Amir Rusyaidi.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan memberitahu sidang media bahawa mangsa telah meninggal dunia akibat strok haba dengan kegagalan pelbagai organ.
“Siasatan yang diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dan diputuskan tiada kesalahan dilakukan mana-mana pihak,” katanya seperti dipetik The Star.
Jelasnya, siasatan selesai selepas kenyataan 64 orang direkodkan.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Amir meninggal dunia pada 13 Nov selepas didakwa menjalani sesi latihan yang sangat meletihkan pada 10 Nov.
Bapa mangsa membuat laporan polis mendakwa anaknya didera, termasuk dipijak dada, dipaksa bergerak seperti kuda, ditunggang jurulatih, dan diarah melompat seperti kanggaru.
Kadet berusia 25 tahun itu rebah selepas latihan dan terus koma sehingga kematiannya.
Bagaimanapun, seorang jurulatih Palapes mendakwa dia dijadikan kambing hitam dalam kes itu.
Sementara itu, Hussein berkata siasatan awal mendapati Amir menyertai Palapes UiTM pada Oktober tahun lalu dan sedang menjalani ujian kecergasan sebelum latihan asas tahun ini.
“Pada hari kejadian, pelajar itu telah dihukum oleh jurulatihnya kerana ketinggalan semasa melakukan larian. Dia dipaksa melakukan tekan tubi.
"Tidak lama kemudian, dia tidak sedarkan diri," kata Hussein.
Amir separuh sedar dan merekodkan suhu badan yang tinggi sepanjang rawatannya.
Kata Hussein, kakitangan hospital cuba memasukkan air di badannya, tetapi ia tidak memberi kesan positif kepada keadaanya.
“Pelajar itu juga mengalami kekejangan dan diberi rawatan lanjut sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi.
"Dia meninggal dunia pada 13 Nov," tambah Hussein.
Selain siasatan polis, tentera juga berikrar untuk menyiasat kes itu secara menyeluruh dan mengambil tindakan selanjutnya.
Kematian Amir menyebabkan UiTM berjanji untuk mengkaji semula program Palapes bagi mengelakkan aktiviti tersebut.