Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan pihak polis membuat siasatan berhubung dakwaan pegawai imigresen cuai dalam meluluskan Permohonan Memo Periksa Keluar (COM) pekerja asing tanpa pengetahuan majikan.
Suruhanjaya itu mengesahkan menerima aduan terhadap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhubung kelulusan COM tanpa pengetahuan atau kehadiran pengarah syarikat terlibat.
EAIC memaklumkan bahawa tindakan ini menyebabkan pembatalan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja di syarikat tersebut.
"Siasatan mendapati pegawai Imigresen yang terlibat telah cuai dan tidak bertanggungjawab kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan JIM dalam kelulusan permohonan COM.
"Permohonan COM itu diluluskan berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh pihak ketiga. Siasatan juga menunjukkan pemalsuan dokumen berkaitan permohonan COM, dan pegawai imigresen yang terlibat cuai kerana menghilangkan dokumen asal permohonan tersebut.
"EAIC memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap pegawai imigresen yang terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) JIM," menurut EAIC dalam kenyataan hari ini.
EAIC juga mengesyorkan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan untuk membolehkan penyiasatan lanjut dijalankan berhubung laporan polis yang dibuat oleh pengadu EAIC.
Menurutnya, siasatan dijalankan berlandaskan aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).
"Selain itu, cadangan penambahbaikan kepada Sistem Imigresen Malaysia (Sistem myIMMs) telah dikemukakan kepada Ketua Pengarah JIM," kata kenyataan itu lagi.