Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawi selesai siasat isu zikir pelik di tanah perkuburan Setapak
Diterbitkan:  Jan 3, 2025 6:33 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah selesai menjalankan siasatan berkaitan isu zikir oleh sekumpulan individu di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Taman Ibukota, Setapak yang berlaku baru-baru seperti diarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Pengarah Jawi Hanifuddin Roslan berkata pihaknya telah mengambil keterangan pengadu dan menemu bual waris serta pelaku yang terlibat.

“Jawi juga telah memanjangkan isu ini kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan pandangan dari aspek hukum syarak. Pihak Jawi akan mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hanifuddin turut menasihati masyarakat Islam di negara ini supaya tidak melakukan amalan yang boleh mengundang kontroversi dalam masyarakat.

Pada 28 Dis, tular satu video berdurasi 23 saat memaparkan sekumpulan individu berzikir secara pelik dan kuat di sebuah tanah perkuburan di Danau Kota, Setapak di Kuala Lumpur hingga mengundang kebimbangan masyarakat khususnya orang Islam.

Pada hari sama, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kejadian berkenaan yang dipercayai berlaku kira-kira 10.05 pagi 27 Dis.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS