Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Konflik Zahid-Lim sikit-sikit saja, kita akan redakan, kata Anwar
Diterbitkan:  Jan 3, 2025 6:09 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Konflik yang timbul antara Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dengan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng hanya isu kecil dan tidak menjadi satu masalah yang akan menjejaskan kerjasama antara gabungan politik dalam kerajaan perpaduan.

Malah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim,  yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH), dia bersedia menjadi perantara bagi meredakan perselisihan antara pemimpin utama parti komponen kerajaan perpaduan itu.

"Kita akan redakan. Soal Guan Eng (berselisih pendapat dengan Ahmad Zahid kita akan redakan.

"Kalau sikit-sikit (Guan Eng mengemukakan kenyataan sensitif), tak ada masalah (diau) mahu buat statement (kenyataan)," katanya pada sidang media selepas melawat Lestari Niaga Madani @ Wirawati yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Penjaja Jalan Wirawati, Kampung Pandan di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Ahmad Zahid menasihatkan Lim supaya tidak menyinggung mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan hari ini. Sambil mengingatkan pemimpin DAP itu, bahawa zamannya sebagai setiausaha agung DAP sudah berlalu, Zahid berkata, ahli Parlimen Bagan itu seharusnya memberi kepercayaan kepada pimpinan baru parti berkenaan.

Nasihat itu diberikan susulan kenyataan Lim yang memberi amaran bahawa kerjasama antara Umno dan PAS dalam perhimpunan solidariti untuk bekas perdana menteri Najib Razak, pada Isnin ini boleh menimbulkan keraguan terhadap kedudukan Umno dalam kerajaan.

Lim berkata, tindakan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan politik, malah turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan Umno dalam membentuk kerajaan pada 2022 atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Umno dan PAS sebelum ini bersetuju mengadakan perhimpunan setiakawan untuk Najib pada 6 Januari di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Perhimpunan itu berlangsung serentak dengan pendengaran mengenai titah tambahan diraja yang berkemungkinan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Perhimpunan setiakawan Umno-PAS ini juga mencatat sejarah sebagai kerjasama pertama antara kedua-dua parti sejak Muafakat Nasional berakhir pada 2022.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perhimpunan solidariti Najib Isnin ini, Anwar secara ringkas berkata, PH tidak akan menyertai acara berkenaan.

"Isnin ini ada apa? Isnin ini kena tanya pengerusi BN (Ahmad Zahid). PH tidak terlibat," katanya.

Anwar dalam pada itu, mengingatkan semua pihak supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, mengingatkan Najib supaya mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan.

"Titah Tuanku kena baca, kena hadam dan terima perintah... kena baca (titah Sultan Ibrahim)," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS