Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, hari ini mengkritik Umno kerana didakwa gagal mempertahankan hak-hak Melayu dan Islam.

Menurutnya, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, serta Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, gagal bersuara dalam isu-isu terkini melibatkan pemimpin DAP, seperti Nga Kor Ming dan Hannah Yeoh.

“Di mana suara pemimpin-pemimpin Melayu-Islam dalam kabinet? Terutama timbalan Perdana Menteri, itu orang Umno, Melayu, Islam.

“Yang keluar daripada kepala dia, mulut dia, dia allergic (alah) kepada hijau, warna hijau," kata Tun Faisal pada sidang media selepas menyertai protes terhadap Nga dan Yeoh.

Tun Faisal, adalah bekas pemimpin Umno, yang digantung keahliannya pada Mac 2021 atas dakwaan melanggar disiplin parti dan kemudian dipecat pada Februari 2023 atas tuduhan melanggar kod etika parti.

Bantahan hari ini menyaksikan pemimpin sayap pemuda Bersatu dan PAS berhimpun menentang Nga kerana penganjuran sambutan Krismas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya.

Mereka juga memprotes terhadap biografi Yeoh, Becoming Hannah, yang didakwa mempromosikan Kristianisasi.

Selepas ucapan Tun Faisal, peguam dan aktivis Rafique Rashid Ali membincangkan konsep kesaksamaan di Malaysia.

“Ada pendapat sekarang ini di Malaysia yang menyatakan bahawa kita semua sama atau kita semua mempunyai hak kesamarataan seperti mana Perkara 8 (Perlembagaan Persekutuan) .

“Tetapi Perkara 8 itu bukan kesamarataan mutlak.

“Tidak ada kesamarataan secara mutlak di Malaysia ini,” katanya.

Tambahnya hak kesamarataan itu terbatas melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, dan Perkara 11(4), yang menghalang penyebaran agama lain kepada umat Islam. 

Seorang pemimpin PAS baru-baru ini mempersoalkan persembahan nyanyian Krismas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya. Ia susulan video pada 24 Disember di akaun Facebook Nga yang menunjukkan kakitangan kementerian itu menyanyikan lagu "Jingle Bells" dan lagu "We Wish You a Merry Christmas." 

Nga mempertahankan majlis itu sebagai cerminan sikap saling hormat-menghormati dan keharmonian dalam kalangan kakitangan kementerian sambil menasihati pemimpin PAS supaya insaf dan berhenti berkongsi fitnah, atau mengganggu-gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum. 

Yeoh pula dikritik kerana petikan terjemahan daripada autobiografinya, semasa membicarakan tentang bagaimana kepercayaan Kristiannya kembali menjadi isu di media sosial.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS