Pencinta haiwan berhimpun di luar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru, Sungai Buloh pagi ini untuk memprotes pembunuhan seekor anjing betina bersama enam anaknya, November lalu.
Kumpulan itu berkumpul di luar kawasan sekolah walaupun dalam hujan, dengan kehadiran kira-kira 30 anggota polis.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Haiwan Terbiar Sungai Buloh, Siti Fauziah Abdul Jabbar, berkata dia mengetahui tentang insiden itu melalui anaknya yang belajar di sekolah tersebut.
“Apabila saya ke sekolah, seorang guru memberitahu bahawa anjing-anjing itu dipukul sehingga mati.
“Kemudian, saya membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Buloh pada 30 Disember,” katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, Fauziah mendakwa tiada tindakan diambil oleh polis, yang menyebabkan dia mengadakan protes di luar sekolah sebelum ini sehingga menarik perhatian pihak berkuasa.
“Polis akhirnya menahan seorang pekerja yang secara terbuka mengaku kepada saya bahawa dia bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu,” dakwanya.
Namun, katanya, pekerja itu kemudiannya dibebaskan, dengan polis menyatakan bahawa tiada kes terhadapnya.
“Kami mencari keadilan untuk anjing-anjing itu. Binatang itu dipukul begitu teruk sehingga pecah tengkoraknya.
“Pekerja itu sendiri mengaku...kenapa biarkan dia pergi?” soal Fauziah.
Peguam negara tak serius, dakwa peguam
Sementara itu, peguam Rajesh Nagarajan yang turut hadir dalam protes hari ini berkata anak-anak anjing itu baru berusia sebulan.
Mengenai penahanan pekerja tersebut, Rajesh mendakwa pekerja itu direman selama lima hari dan mengaku membunuh anjing-anjing tersebut.
“Polis memaklumkan kepada kami bahawa mereka telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara, tetapi AGC memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan,” katanya kepada Malaysiakini.
Rajesh turut mengkritik Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, dan menuduhnya tidak menjalankan tugasnya dengan serius.
“AG adalah penjawat awam, dan kami tuntut dia bertindak atas kes ini,” tegasnya.
Mengenai tindakan seterusnya, Rajesh berkata pasukannya akan mengadakan protes di luar Jabatan Peguam Negara (AGC) jika tiada tindakan diambil dalam tempoh dua minggu.
Perhimpunan bersurai secara aman pada pukul 12 tengah hari tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.