MCA akan bersama dalam “Perhimpunan Solidariti untuk Najib” yang dijadualkan di perkarangan Mahkamah Rayuan, Putrajaya, pada 6 Januari 2025.
Dalam satu kenyataan hari ini, Biro Publisiti MCA mengesahkan bahawa parti tersebut telah menerima jemputan daripada Umno untuk menghadiri perhimpunan itu dua minggu lalu.
MCA turut menyeru para pemimpin dan ahlinya di semua peringkat untuk menghadiri perhimpunan aman tersebut bagi menegakkan keadilan dan menyatakan sokongan terhadap Najib.
Parti itu juga menegaskan pendiriannya berhubung isu titah tambahan diraja yang didakwa membenarkan Najib menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
“Semasa Sambutan Ulang Tahun ke-50 Barisan Nasional pada 7 Disember 2024, Presiden MCA, Wee Ka Siong, secara terbuka mengulangi pendirian parti: keputusan mahkamah mesti dihormati.
“Beliau juga menggesa kerajaan untuk secara telus dan jelas menjelaskan mengenai titah tambahan diraja tersebut—sama ada mengesahkan atau menafikannya.”
MCA menegaskan bahawa kerajaan perlu memberikan jawapan yang jujur, terutamanya memandangkan perkara ini berkaitan dengan prinsip Rukun Negara iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, dan Kedaulatan Undang-Undang.”
Umno akan menganjurkan perhimpunan solidariti untuk Najib pada 6 Januari, yang kebetulan pada hari yang sama dengan perbicaraan berhubung dakwaan titah tambahan diraja tersebut, yang mungkin membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Sementara itu, kepimpinan PAS turut menggesa ahlinya untuk menghadiri perhimpunan tersebut.
Susulan kontroversi mengenai perhimpunan bersama ini, beberapa pemimpin Umno menjelaskan bahawa acara tersebut bukan acara politik dan parti itu tidak pernah berkomunikasi dengan PAS mengenai perkara berkenaan.