Kira-kira 200 orang mula berkumpul di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru di tengah Kuala Lumpur selepas solat Jumaat selesai hari ini dengan sebahagiannya berzikir.
Ia dipimpin Ketua Bersatu Port Dickson yang juga bekas aktivis PKR, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.
Himpunan Bangkit Ummah itu dianjurkan Pemuda PAS dan Bersatu ekoran rasa tidak senang mereka terhadap beberapa isu semasa khususnya terkait dengan pemimpin DAP.
Pada 31 Dis lalu Pemuda PAS mendakwa mereka menganjurkan himpunan berkenaan selepas berasa "terancam" dengan kenyataan dibuat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; dan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Mohd Hafez Sabri, adalah antara pemimpin pembangkang yang menyampaikan ucapan.
Selepas beberapa ucapan daripada pemimpin sayap Pemuda PAS dan Bersatu, kira-kira 80 penunjuk perasaan berarak ke balai polis Dang Wangi untuk membuat laporan terhadap Yeoh.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Mohd Hafez Sabri yang membuat laporan itu bersama Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid menjelaskan bahawa laporan telah dibuat terhadap Nga sebelum ini.
Selain itu, katanya, polis telah bersetuju untuk membuka kertas siasatan terhadap dua pemimpin DAP itu.
"Kita telah berjaya menyatukan rakyat dan suara orang Islam di negara kita supaya tindakan diambil terhadap kedua-dua individu yang saya namakan tadi dan kita mengharapkan agar pihak PDRM buat siasatan dengan adil dan membawa mereka ke muka keadilan," katanya.
Seorang pemimpin PAS baru-baru ini mempersoalkan persembahan nyanyian Krismas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya.
Video pada 24 Dis di akaun Facebook Nga menunjukkan kakitangan kementerian menyanyikan lagu "Jingle Bells" dan lagu "We Wish You a Merry Christmas."
Nga mempertahankan majlis itu sebagai cerminan sikap saling hormat-menghormati dan keharmonian dalam kalangan kakitangan kementerian sambil menasihati pemimpin PAS supaya insaf dan berhenti berkongsi fitnah, atau mengganggu-gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Pada masa yang sama, Yeoh dikritik kerana petikan terjemahan daripada autobiografinya, di mana dia bercakap tentang bagaimana kepercayaan Kristiannya kembali menjadi isu di media sosial.
Pengkritik menyasarkan kenyataannya yang mengatakan dia bertindak sebagai "duta Tuhan" sebagai bukti bahawa pemimpin DAP itu sedang menyebarkan agama Kristian.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Yeoh terhadap bekas ketua polis negara Musa Hassan kerana mendakwa dia cuba menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.
Sehubungan itu, Chegubard dan ketua penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz menyorot bahawa keputusan mahkamah sebagai bukti Yeoh menyebarkan agama Kristian.
"Selepas mahkamah telah menentukan bahawa Hannah Yeoh sebenarnya terbabit dengan perkara-perkara yang disebut oleh Musa Hassan termasuklah apabila evangelisme ini melibatkan juga gerakan Yahudi di luar negara jadi kita kata ini bukan sahaja isu imaginisme tapi juga ia adalah isu keselamatan dalam negara.
"Ini isu besar. Malangnya ada Melayu DAP yang dipergunakan," dakwa Tun Faisal.
Dia juga menjelaskan bahawa perhimpunan itu bukan menentang mana-mana kaum atau agama tertentu, tetapi khususnya menentang penyebaran agama Kristian di kalangan orang Melayu.
[Laporan lanjut menyusul]